Friday 3 May 2013

Janji Ditepati, Bukan Manifesto Murahan

Lebih satu dekad yang lalu, penulis masih ingat, antara keluhan penduduk awal yang diarahkan paksa berpindah dan mendiami kuaters di Putrajaya ialah masalah infrastruktur yang masih belum siap. Ramai yang merungut dengan ketiadaan pasar awam, kedai runcit, pusat membeli belah, padang bola awam, surau yang kecil dan satu-satunya masjid ialah Masjid Putra serta parking yang tidak mencukupi. Ketika itu juga, kepimpinan BN sedang menghadapi masalah getir dengan serangan matawang ringgit dan reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim.

UMNO ditubuhkan kerana dipercayai oleh penduduk Putrajaya, mampu untuk menjadi wadah dan mendengar rintihan suara rakyat memenuhi desakan mereka. 2002 merupakan tempoh awal penajaan UMNO Putrajaya. Arwah Hj. Fadhil merupakan Setiausaha UMNO Bahagian pertama yang bertungkus lumus menubuhkan UMNO Putrajaya, dibimbing oleh Tengku Adnan sebagai Ketua Bahagian. PRU 11, tahun 2004 Tengku Adnan telah menang dengan bergaya mengalahkan calon dari KeADILan. Sejak dari itu, wakil rakyat BN telah mengotakan janji dan memenuhi hampir 100 peratus apa yang dikehendaki oleh masyarakat Putrajaya. Sekiranya anda tidak percaya, penulis minta penghuni atau penduduk baru Putrajaya sekarang ini, carilah buku-buku laporan tahunan UMNO Bahagian Putrajaya, Wanita, Pemuda dan Puteri. Buku laporan berkenaan merekodkan segala desakan akar umbi UMNO Putrajaya seperti masalah parking, sekolah agama, surau, masjid, padang bola, futsal, sewa gerai, kuaters, rumah dal pelbagai lagi.

Menariknya, seperti yang telah penulis nyatakan di atas, hampir kesemua desakan yang dibawakan oleh ahli UMNO telah direalisasikan oleh wakil rakyat BN. Penggal pertama, Tengku Adnan telah dilantik sebagai menteri dan penggal kedua sebagai SU Agong UMNO. Kedudukan beliau membolehkan semua keluhan rakyat Putrajaya dibisikkan terus ketelinga Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri. Pun begitu, prosedur pembangunan tetap diikuti dengan Perbadanan Putrajaya menjadi penyelaras dengan peruntukan serta pelantikan kontraktor diuruskan oleh Bhg. Kontrak Perbadanan Putrajaya tanpa campur tangan politik. Ini boleh disahkan oleh Tan Sri Samsudin mantan Presiden PPj.

Persepsi buruk terhadap kerajaan BN disegarkan oleh pembangkang di Putrajaya melalui kuliah-kuliah agama di surau-surau pada setiap hari. Ini adalah strategi halus ustaz-ustaz ini yang sambil memberi kuliah, mereka "mencari makan" juga (bukan semua). Sambil menyelam, minum air. YDP PAS Putrajaya sekarang, mula rapat dan berjinak-jinak dengan pegawai-pegawai Perbadanan Putrajaya sejak tahun 1998 lagi dengan menyampaikan kuliah di surau Pejabat PPj lama di Presint 14. Akhirnya dapat juga gerai No.1 di Medan Selera Presint 8. Mereka ini hipokrit, mengata UMNO koronism dan pelbagai lagi tohmahan, tetapi dengan serban tinggi juga mereka mengambil kesempatan...Hanya Allah sahaja yang mengetahui niat dan isi hati mereka, antara Tengku Adnan dan Husam Musa, belum tentu yang selalu memakai kopiah putih itu masuk syurga terlebih dahulu.

Kepada rakan pengundi Parlimen Putrajaya, apabila memegang kertas undi esok, pangkahlah kotak yang di sebelah atas bersebelahan nama Tengku Adnan Tengku Mansor dan gambar dacing. Bulan dan dacing di dalam kertas undi tidak punya warna. Tiada warna biru atau hijau di dalam kertas undi. Begitulah tamsilan di alam akhirat, tiada nanti warna hijau dipakai di padang mahsyar. Pilihlah nama yang di atas, nombor wahid dan bukan yang di bawah. Insyallah, kita akan terus dirahmati Allah.

Wednesday 1 May 2013

Petugas PAS Pengotor?

Penulis menerima blast sms dari pihak berkenaan yang meminta petugas Pas dari luar menjaga kebersihan Surau An-Najjah Presint 9, Putrajaya. Memang menjadi kelaziman petugas Pas dari luar kawasan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan surau dan masjid setiap kali pilihan raya. Tapi dah berkelah tu pandai-pandailah bersihkan. Jangan jadikan budaya pengotor di tempat anda di rumah Allah. Kan Islam itu bersih, apa maknanya dengan parti Islam kalau pengotor?

Sunday 28 April 2013

Temberang Husam di Putrajaya

DI sebuah masjid di Putrajaya sementara menunggu ketibaan jenazah seorang pegawai kanan kastam Jumaat lepas, calon Pas kerusi Parlimen itu, Datuk Husam Musa tiba-tiba bangun untuk menunaikan solat sunat.

Ia sejurus selesai solat Asar ketika para jemaah masih berteleku di sejadah. Selepas itu Husam mengambil al-Quran sebelum beberapa minit kemudian disusuli isyarat tangan daripadanya sendiri seraya menunjukkan tanda bagus ke arah seseorang.

Rupa-rupanya isyarat itu ditujukan kepada seseorang yang sedang merakamkan adegan itu. Dipercayai, untuk dimuatkan ke dalam blog pemimpin Pas itu. Sewaktu jenazah sampai pun, tak habis-habis Husam merapati jenazah, sambil asyik dirakamkan oleh rakannya tadi. Memerhatikan adegan itu adalah para jemaah termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon BN selama dua penggal di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Dalam kalangan orang Pas sendiri di Putrajaya, mereka merasakan sesuatu yang janggal mengapa Pas menampilkan Husam ke situ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Semua maklum dia terpaksa 'terbang ke sini, ke sana' sepanjang dua minggu kempen pilihan raya ini. Sekejap di DUN Salor, Kelantan dan sekejap di Putrajaya - bertanding dua kerusi serentak.

Namun bagi penjawat awam serta penduduk Putrajaya, mereka sedar akan gelagat temberang Husam.

Di Putrajaya dalam beberapa hari ini, Husam mencanangkan mahu menurunkan cukai pintu seluruh rumah dan kediaman di situ. Padahal bukan dia tak tahu, atau sengaja 'tidak mahu ambil tahu' yang kira-kira 90 peratus kediaman di Putrajaya adalah kuarters kerajaan. Mana ada dikenakan cukai pintu. Selepas itu habis diuar-uarkan supaya dilaksanakan konsep jual beli kuarters kerajaan kepada staf. Sedangkan umum maklum kuarters kerajaan di Putrajaya bukan untuk dijual beli.

Ini kuarters kerajaan. Kakitangan yang bekerja datang dan pergi. Kalau dijual, generasi akan datang yang bekerja di Putrajaya nak tinggal di mana? Kalau asyik fikirkan kepentingan sendiri, sampai ke Nilai pun rumah-rumah yang nak dibina bertebaran untuk penginapan kakitangan Putrajaya. Dan takkan cukup sampai bila-bila.

Demikian juga apabila calon Pas ini cuba memainkan isu Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan kerajaan BN enam bulan lepas. Hal perumahan sememangnya diambil perhatian BN Putrajaya sebelum Husam datang ke situ sehari dua ini. BN menyedari wujud tanggapan 'oleh kerana tinggal di kuarters, penduduknya seakan terlupa mahu membeli hartanah'. Maka, Tengku Adnan mengambil inisiatif berbincang dengan kerajaan untuk melancarkan perumahan penjawat awam 1Malaysia. Difahamkan, sejumlah 11,000 unit rumah akan dibangunkan.

Dari segi isu-isu lain, cuma ada masalah kecil di Presint 9 - meletak kereta. Untuk perumahan di sekitar Seksyen 16, 17, 18 dan 19, sudah disediakan kediaman selesa. Ini termasuk tempat letak kereta berbumbung manakala setiap unit rumah disediakan parkir untuk dua buah kereta.

Jumaat lepas juga Husam mengatakan terdapat kira-kira 100 ahli daripada empat cawangan UMNO masuk Pas. Sedangkan, itu hanyalah gimik Pas yang mana kumpulan itu diketuai oleh seorang individu dikenali 'Shauki'. Berdasarkan semakan akhbar ini, 'Shauki' ialah ahli dan pengikut tegar Pas. Maknanya, kalau nak diperbetulkan majlis masuk Pas itu adalah 'ahli Pas sendiri masuk Pas'.

Di Salor sekarang, Husam menguar-uarkan lagi bahawa dia sudah 'hijaukan' Putrajaya. Gimik Husam mendorong seorang bapa di Kota Bharu menghubungi anaknya, seorang penguat kuasa di ibu pejabat Imigresen untuk mendapat jawapan. Lalu dijawab si anak:

"Adalah bendera dan poster Pas... tapi tidak seperti mana digambarkan Husam. Itu bohong Husam ja."

Malah, Husam dalam ceramah di sekitar Putrajaya begitu beria-ria mahu menjadikan pusat pentadbiran itu kota Islam. Sedangkan BN sudah buat pun perkara ini. Setakat hari ini sudah 49 surau beroperasi di seluruh Putrajaya termasuk tujuh dinaik taraf surau Jumaat. Masjid pula ada dua buah. Sekolah rendah agama sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu. Pada Mac lepas ini pun, Tengku Adnan berjaya mendapatkan peruntukan khusus untuk mendirikan sekolah menengah agama berasrama penuh. Tidak cukup Islamkah? Tengku Adnan berjaya menyelesaikan banyak perkara lain termasuklah pembesaran surau. Surau di Presint 14 pun akan beroperasi tidak lama lagi.

Dari segi pengangkutan awam pula, Husam dipercayai tidak boleh terkata apa dah. Penjadualan semula Nadi Putra dan pengangkutan lain sedang dirangka oleh Perbadanan Putrajaya untuk keselesaan penghuni Putrajaya. Malah, Tengku Adnan telah meminta kerajaan menyelesaikan isu 'allignment' monorel yang tersedia ada. Cuma sekarang, kos meletakkan rel, gerabak dan sistem elektroniknya meningkat tinggi.

Setakat ini lebih RM8 bilion dibelanjakan untuk pembangunan Putrajaya. BN suatu ketika cukup menyedari Kuala Lumpur menjadi sub pembangunan dan kuarters untuk penjawat awam. Justeru, kekangan itu dikurangkan dengan beralih ke Putrajaya.

Sabtu lepas, deretan kenderaan begitu panjang boleh dilihat dari lampu isyarat Presint 9 sehingga ke terowong Presint 11. Rupa-rupanya orang ramai memenuhi sesi ceramah Tun Dr. Mahathir. Dikatakan kira-kira 80 peratus khalayak yang hadir merupakan penduduk atau pengundi berdaftar Putrajaya. Dan ia tidak seperti mana program ceramah pakatan pembangkang malam Jumaat lalu yang rata-rata dikenal pasti audiensnya orang luar.

Kalau Husam pun sanggup berbohong kononnya BN bertindak memecat ahli jawatankuasa Surau Presint 11, justeru apa relevannya seseorang dari Pas patut mengatakan dia harus dipilih oleh kira-kira 15,000 pengundi berdaftar Putrajaya.

Menemui Tengku Adnan daripada program bertemu rakyat disertai Dr. Mahathir kelmarin, beliau kelihatan penat tetapi ceria.

"Harap warga Putrajaya termasuk staf-staf sokongan di sini memberi sokongan kepada BN 5 Mei nanti. Dulu Pas nak lelong Putrajaya dan sekarang masih sebut sebut perkara yang sama," katanya kepada kami kira-kira pukul 12.30 tengan malam.

Putrajaya tidak mahu wakil rakyat seperti Husam - yang difahamkan orang Salor pun menolaknya. Putrajaya menolak manusia yang 'berlakon' dalam masjid.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130429/re_06/Melihat-gelagat-temberang-Husam-di-Putrajaya#ixzz2RoMO10Yz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 25 April 2013

Peperangan Media Baru di Putrajaya


Husam Musa yang bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Putrajaya dan DUN Salor mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkempen kepada kedua-dua rakyat di kawasan berkenaan.  Dalam usaha untuk menawan Putrajaya, pada 16 April di ‘foodcourt Presint 8 iaitu empat hari sebelum penamaan calon, Husam telah menggerakkan seluruh jentera dan pengamal media baru PR seperti facebooker, blogger, twitter. Kempen juga dibuat melalui medium 'WhatsApp',  sms blast kepada ‘handphone’ pengundi berdaftar dan petikan video yang diupload melalui youtube.  Sidang video “online” juga dibuat melalui saluran media  “ustream”. 
  
Husam menyedari bahawa kempen dalam usaha meraih undi di Putrajaya memerlukan kempen secara agresif dibuat melalui media baru kerana lebih 80% kediaman di Putrajaya melanggan kemudahan internet. Husam juga maklum, berdasarkan statistik  60% atau 9,400 pengundi adalah golongan muda di bawah umur 40 tahun yang tegar melayari internet dan media baru.  Golongan ini juga adalah pengguna tegar telefon pintar “smartphone” seperti iPhone, Samsung Note II,  Tablet PC yang boleh mengakses maklumat di mana jua.  Teknik pengunaan media baru dalam berkempen dimulakan dengan berkesan oleh Barrack Obama semasa berkempen untuk menjadi Presiden Amerika.


Kempen secara konvensional iaitu pendekatan ceramah kelompok kurang berkesan di Putrajaya, kerana majoriti penghuni kuaters tidak suka diganggu “privicy” mereka setelah balik bertugas dari pejabat.  Ceramah kelompok lebih sesuai untuk kaum ibu di kampong-kampong tradisional dan luar bandar.  Ceramah besar pula seperti yang berlangsung beberapa hari lepas, kelihatan berjaya dengan mengundang Mat Taib sebagai penceramah jemputan. Dari segi angka pengunjung mungkin baik tetapi hanya 2-5% sahaja yang hadir adalah pengundi Putrajaya.   Undian di atas talian atau “online pool” juga tidak menggambarkan kedudukan sebenar di lapanagan kerana pengundian yang dibuat tidak kredibel dan akademik. Status pengundi tidak dapat dipastikan siapa mereka dan pengunjung sesebuah portal, web atau facebook itu penyokong mereka, sudah pasti pool itu condong kepada puak mereka. Justeru itu, penulis tidak percaya langsung dengan “online pool” yang tidak akademik!

Sekiranya Husam menyangkakan boleh memenangi kempen menggunakan media baru di Putrajaya, sebenarnya beliau silap. Beliau hanya menggerakkan jentera media baru di Putrajaya mulai 16 April yang lepas dan sebelum itu yang wujud hanya blog PAS Kawasan dan Dewan Pemuda PAS Putrajaya sahaja. Blog Cabang PKR Putrajaya pula sudah lama tidak aktif.  Berbanding dengan BN, sebenarnya Putrajaya merupakan kubu kuat media baru UMNO sejak lama sebelum itu.  UMNO Bahagian mempunyai portal yang interaktif dibantu dengan jentera media baru Pemuda UMNO Bahagian, Unit Media Baru (UMB) Pemuda UMNO Malaysia yang sememangnya berkubu di Putrajaya. Ramai blogers, facebookers, twitter, sms blast dan lain-lain jentera BN/UMNO sedang berlegar dan berperang hebat dan berkubu di Putrajaya.  

Dilengkapi kemudahan kemudahan perkakasan ICT yang moden dan canggih serta semangat juang pemain media baru jentera UMNO Putrajaya, sebenarnya tidak mudah Husam dan jenteranya hendak memperlekehkan dan menumbangkan Ku Nan.  Serangan siber Husam tidak mampu menggoncang kredibiliti Ku Nan kerana mampu ditangkis dengan mudah oleh jentera siber UMNO Putrajaya.  Ku Nan juga mampu menggerakkan jentera UMNO secara  konvensional dengan lebih berkesan seperti pemasangan bendera, poster, pengedaran risalah dan bahan kempen kerana mempunyai jentera yang mencukupi dan terlatih sejak UMNO ditubuhkan 2004. 


Husam 'berpeluh' di Putrajaya



Di atas kertas kini terdapat 15,798 pengundi berdaftar di Putrajaya.Ini satu peningkatan lebih 100 peratus sejak pilihanraya umum 2008, di mana jumlah rasminya hanyalah 6,608 orang sahaja. Pada PRU12, penyandang kerusi parlimen P125 Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menang di situ dengan kelebihan 75 peratus undi. Calon PAS hanya memperolehi 25 peratus undi, menjadikan Putrajaya antara kawasan Parlimen paling selamat dari tsunami ketika itu.

Itu cerita dulu, kini situasi boleh berubah, apatah lagi selepas PAS menamakan Naib Presiden Parti Datuk Husam Musa sebagai 'ayam sabung' mereka untuk merampas kerusi di pusat pentadbiran Malaysia itu. Kalau tengok secara kasar, memanglah nampak gah cabaran Husam terhadap Tengku Adnan itu. Tapi jika kita lihat semua data dan fakta atas meja secara detail, kita tahu cabaran Husam itu hanya 'gempak lebih' saja. Ia bukan cabaran 'do or die' sebab Husam sendiri bertanding dua kerusi, selain Putrajaya, beliau kekal di DUN selamatnya di Salor Kelantan.

Sabtu  sebaik sahaja lepas penamaan calon, Husam bergegas balik ke Kelantan dan hanya akan berkempen di Putarajaya pada Selasa dan Rabu depan, dan pulang semula ke Salor selepas itu. Ketika ditemui Agendadaily di pusat penamaan calon Presint 9, kata Husam, bertanding dua kerusi bukan hal, sebab sekarang zaman online. Menurutnya, 89 peratus penduduk Putrajaya mempunyai akses pada internet, jadi beliau akan berkempen secara online.

"Sekarang banyak kemudahan, saya boleh ulang alik, ada MAS, Air Asia, Firefly, tak ada masalah,"kata Husam jawab mengenai jauhnya Salor dan Putrajaya, dua kawasan yang  ditandinginya dalam PRU13 ini. Untuk perbandingan, beberapa pemimpin pembangkang lain bertanding dua kerusi biasanya di dalam negeri yang sama atau berdekatan. Antaranya, Azmin Ali di DUN Bukit  Antarabangsa dan Parlimen Gombak, Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak. Lim Guan Eng Parlimen Bagan dan DUN Air Putih. Begitu juga dengan bos DAP Perak Ngeh bersaudara yang bertanding dua kerusi.



Hanya Husam yang buat lain macam bertanding DUN di Kelantan dan Parlimen di Putrajaya yang mana yang jaraknya 480 kilometer antara satu sama lain. Husam sendiri tidak bertanding di peringkat nasional sejak 2004, sedangkan kedudukan sebagai antara orang nombor tiga dalam parti menuntut beliau melakukan sesuatu di peringkat nasional. Tapi masalah dengan Husam adalah beliau bukan tidak mempunyai kerusi parlimen di Kelantan. Beliau boleh memilih untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi selamat, tetapi terpaksa lepaskan kerusi DUN. Ia satu percaturan yang 'payah kira' untuk Husam, yang kononnya disebut-sebut antara calon MB Kelantan penganti Nik Aziz.

PRU13 adalah PRU adalah penting, untuk Husam, jika beliau hanya bertanding DUN, publisitinya tidak meluas, tak glamour. Jadi bertanding di Putrajaya, mencabar penyandang kerusi yang berstatus seperti Tengku Adnan  adalah langkah politik untuk kekal relevan di peringkat nasional sekaligus dapat publisiti percuma. Husam sendiri tahu, nasibnya di Putrajaya amat samar, sebab itu beliau lebih senang kata hanya 'mencuba nasib'. Dalam sidang media pertamanya diumumkan sebagai calon PAS Putrajaya, kata Husam,  beliau belum ada keyakinan lagi untuk menang di Putrajaya kerana BN ada tokoh hebat yang kuat.

“PRU 2008 PAS hanya dapat undi sebanyak 25 peratus, salah satu kawasan yang paling rendah jumlah sokongan. “Kalau naik lima peratus pun tak boleh menang juga tapi tak mengapa kita boleh cuba kerana saya datang sini dengan harapan untuk menang,"ujarnya.

Husam mungkin mengharapkan sentimen pengundi luar terutamanya dari Kelantan untuk mengundi beliau di Putrajaya. Tetapi, berdasarkan data, kebanyakkan pekerja berasal dari negeri Kelantan yang tinggal di Putrajaya mengundi di Kelantan. Bagi rata-rata orang Kelantan, pilihanraya ini macam hari raya, jadi tiap kali PRU mereka berdoyan-doyan pulang ke negeri itu. Sebab itu UMNO atau PAS selalu buat Majlis di Kelantan rai 'pengundi luar' dan biasanya melimpah dengan orang Kelantan yang tinggal di KL tapi mengundi di sana. Maknanya di atas kertas, percaturan Husam jika mengharapkan undi negeri salah. Tengku Adnan  sendiri yakin penuh,  sentimen negeri tidak akan berjaya dalam  meraih sokongan pengundi di Putrajaya.

"Saya berpandangan walaupun calon orang mana sekalipun, rakyat  mempunyai minda terbuka dan mereka akan memilih orang yang mereka kenal, orang yang memahami keperluan mereka dalam kawasan itu. "Saya berkeyakinan bahawa Husam akan ditolak, 'total rejection' sebab beliau datang dari luar Putrajaya." katanya.

Untuk rekod, pada PRU12, dari 5,416 kertas undi yang dikeluarkan, Ku nan memperolehi 4,038 undi manakala lawannya dari PAS hanya 1,304 dan majoriti 2,734. Dalam kata lain, satu kemenangan dua pertiga. Sementara itu, walaupun Husam cuba 'disolekkan' sebagai pemimpin hebat dari Kelantan, cerita sebenarnya akan terlondeh satu persatu di Putrajaya tidak lama lagi. Agendadaily difahamkan beberapa rakan baik Husam akan mendedahkan siapa dirinya yang sebenar di atas pentas BN tidak lama lagi. Antara rakan karibnya itu merupakan penulis blog terkenal yang mana salah seorang daripadanya pernah menjadi 'orang kuat' Husam. Katanya, seorang lagi penulis blog terkenal propembangkang yang kerap menulis cerita politik di peringkat Kelantan dan nasional juga akan berkempen menentang Husam.

"Salah seorang blogger terbabit ialah Syed Azidi Syed Abdul Aziz  atau Kickdefella yang menghubungi saya sendiri dan menyatakan kesediaan mendedahkan siapa Husam di atas pentas ceramah BN. "Seorang lagi ialah blogger yang hardcore dengan beliau. Dia datang berjumpa sendiri dengan saya kelmarin. Blogger ini bersembang sehingga pukul 2 pagi dan berjanji membantu  mendedahkan siapa Husam sebenarnya," Kata Ku Nan selepas Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat di rumahnya semalam. Menurut Ku Nan, semua rakan baik pemimpin kanan PAS itu bersetuju bertindak demikian kerana sayangkan negara.

Selain itu, seorang  usahawan yang pernah terlibat dalam kontroversi projek penternakan kambing bersama Husam beberapa tahun lalu. "Kita sudah jumpa Datuk Amin yang pernah berurus niaga kambing  yang pernah diuar-uarkan oleh Husam satu waktu dulu dengan turut membawa bersama pegawai kewangannya, Fauzi Daud untuk mendedahkan transaksi tersebut," katanya. Husam memang diketahui mempunyai beberapa kontrolversi dalam urusan seharian beliau sebagai exco kerajaan negeri Kelantan. Beberapa 'deal' yang kemudiannya tidak jadi dan menimbulkan keraguan banyak pihak. Selama ini cerita-cerita tersebut hanya berkisah di Kelantan sahaja atau dalam blog-blog politik.

Kini dengan kesempatan PRU13 dan Husam jadi 'ayam tambatan' PAS di Putrajaya, pekung ini sedikit sebanyak akan 'terlondeh'. Macam kisah selebriti, ada harga yang perlu dibayar pada setiap publisiti, mungkin PRU13 menjadi pentas terbaik untuk penduduk Putarajaya khususnya dan rakyat Malaysia seluruhnya menilai Husam Musa. Tunggu... ini baru hari pertama. Ada 14 hari lagi untuk berkempen, pertarungan di Putrajaya ini pasti tambah menarik setiap hari...-21/4/2013- OLEH HELME HANAFI , AGENDADAILY

Husam Tawar Rumah Kepada Penjawat Awam Putrajaya

Husam Musa dalam siri kempennya menawarkan kuaters kerajaan ditukarkan kepada sewa beli.  Hanya yang berfikiran singkat sahaja percaya kepada janji tersebut.  Kenapa kuaters? Sebab ia kemudahan perumahan Penjawat Awam yang akan silih berganti didiami oleh Penjawat Awam yang lain atas pelbagai sebab. Antaranya ialah Penjawat Awam itu berhenti, bertukar dan juga bersara wajib. Pembangunan Putrajaya mengikut pelan induk (masterplan) akan mewujudkan 300,000 kediaman pelbagai jenis di mana 40% adalah dibina bagi tujuan kuaters kerajaan dan 60% lagi dijual kepada awam.


Kuaters kerajaan dibina di atas tanah yang diberilimilik di atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP-KPTG) dan tidak boleh dijual beli sementara Putrajaya Holdings (PJH) adalah pemilik tanah yang akan dan telah dibangunkan kediaman yang akan dijual kepada awam. Kuaters kerajaan dibina mengikut kelas dan kelayakan Penjawat Awam yang telah ditetapkan di dalam bab E Perintah Am.  Pangsapuri berkeluasan antara 850kp.-1,000k.p. adalah diperuntukkan kepada Penjawat Awam dari gred 1-17.  Pangsapuri berkeluasan 1,200k.p bagi gred 22-26 atau sesiapa yang bersetuju untuk "down gred". Sementara rumah teres diperuntukkan kepada Penjawat Awam Gred 27-44 mengikut kelas masing-masing dan rumah teres berkembar bagi gred 48-54.   

Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam perancangan pembangunan Bandar raya Putrajaya, telah mengkhususkan 10,000 buah rumah mampu milik dibangunkan dibeberapa kawasan. Antara PRMM yang telah dibangunkan ialah Pangsapuri Putra Harmoni (rumah hijau) di Presint 9, Pangsapuri Putra damai di Presint 11 dengan kedua-dua pengsapuri berkenaan berkeluasan 700kp dan dijual dengan harga RM45,000.00.  Memandangkan desakan penduduk Putrajaya supaya dibina rumah mampu milik yang lebih besar, UMNO Bahagian Putrajaya telah membawa permohonan ini kepada  PPj dan Perdana Menteri.  Melalui perbincangan dan kajian mendalam oleh PPj, PJH dan Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan bersetuju membina rumah mampu milik yang lebih besar di Putrajaya melalui projek PR1MA yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri dan dijual di Presint 11 dengan harga antara RM120,000 (815k.p.) - RM150,000 (1,006k.p.) pada tahun lepas.

Seterusnya, pada 18 April yang lepas Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk Penjawat Awam yang menetap di kawasan bandar. Projek pertama dibangunkan khusus untuk Penjawat Awam di Putrajaya. PPA1M berkeluasan 1,000k.p., 1,200k.p dan 1,500k.p. akan dijual dengan harga antara RM150,000.00 hingga RM300,000.00 adalah jauh lebih rendah dari harga pasaran.  Sebagai perbandingan  Apartment Dwi Putra yang dibangunkan oleh SP Setia di Presint 15 mula dijual dengan harga antara RM389,500.00 - RM694,200.00 dengan berkeluasan 900k.p. hingga 1,200k.p. 


Kemudahan perumahan untuk Penjawat Awam ini diperjuangkan oleh UMNO yang menjadi tunjang BN di Putrajaya dan ia sudah pasti tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak khususnya oleh Penjawat Awam itu sendiri. Dari estet getah dan sawit Ladang Prang Besar, Sidgelley, Madingley dan Galloway akhirnya menjadi sebuah Bandar Raya Dalam Taman yang indah adalah ilham dan iltizam kerajaan Barisan Nasional.

Kuaters adalah kemudahan dan bukannya hak! Soal kekurangan dan tempoh senarai menunggu kuaters akan ditangani oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, JPM dengan sebaik-baiknya.  Masih banyak lagi kuaters yang akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat di Presint 5, 6, 8, 11, 12, 15, 16, 17 dan 19. Sekiranya semua kuaters ini dijual seperti janji Husam Musa, maka apakah lagi yang tinggal untuk generasi Penjawat Awam akan datang? Inilah contoh pemikiran dangkat pemimpin PAS yang terkenal dengan  slogan dan perasmian batu asas...   


Wednesday 24 April 2013

Tun Mahathir Bersama Pengundi Putrajaya




Tun Mahathir akan turun memberi suntikan semangat kepada jentera BN Putrajaya dalam ceramah PRU13 pada 27 April 2013 (sabtu) jam 9.00 malam di Presint 9, Putrajaya.

Semua dijemput hadir.


Shabery Cheek : Husam Hanya Pandai Ambil Kesempatan

Kredit: KL Pos
Tuesday, 23 April 2013 20:00 Bariq Ramadhan


KEMAMAN, 23 April - Calon BN bagi Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa calon Pas bagi parlimen Putrajaya, Datuk Husam Musa hanya pandai mengambil kesempatan ke atas Putrajaya setelah wilayah itu dibangunkan oleh kerajaan dengan tuduhan menghabiskan duit rakyat.
Menurut Shabery, Husam merupakan ahli parlimen yang paling kuat membantah sewaktu Putrajaya dibangunkan oleh kerajaan suatu ketika dahulu.

"Dulu dia pernah menjadi ahli parlimen dan bila akta perbadanan Putrajaya itu dibentangkan di Parlimen sebelum 1997 ... Pada waktu itu, dia orang paling kuat membangkang, dengan menuduh kerajaan menghabiskan wang rakyat

"Kini Putrajaya menjadi pusat pembangunan, dia pula yang mencalonkan dirinya ke Putrajaya. Dia layak dipanggil pemimpin yang hanya pandai mengambil kesempatan," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Skim Insentif Tanam Semua Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Dewan Sivik Felda Neram 1, disini, hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar, Senator Haji Abdul Ghani Abdullah, Pengurus  Besar Felda Terengganu, Mohd Helmi Abdul Wahab, Pengurus MPOV Terengganu, Azhar Ahmad, dan Mohd Fauzi, Pengerusi Majlis Belia Felda Terengganu.

Dalam pada itu, beliau turut menyindir Pas yang pernah mengharamkan suara wanita sebelum ini, mula meletakkan bekas penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin yang lebih dikenali sebagai Aisyah sebagai calon Pas bagi Parlimen Jempol.

"Dahulu Pas mendakwa suara wanita merupakan aurat sehingga mengharamkan kerajaan membuat Musabaqah Al-Quran, yang mana meletakkan Malaysia di mata dunia.

"Ketika Pas mentadbir negeri Terengganu, Pas telah mengeluarkan kenyataan bahawa suara wanita tidak boleh dipertandingkan dalam Musabaqah Al-Quran sekaligus melenyapkan calon Terengganu wanita Musabaqah Al-Quran.

"Tetapi bila mereka (Pas) merasakan perlu, wanita kini boleh bertanding. Yang mana kini Aishah selaku calon pas bagi Parlimen Jempol.

"Rakyat boleh melihat wajah Pas yang sebenar," katanya.

Setelah Hari ke-5 Ku Nan Masih Mendahulu Husam

Di atas kertas dan hasil gerak kerja UMNO Putrajaya, nampaknya Ku Nan yang mewakili BN masih mendahului Husam. Kehadiran ribuan penyokong PR dalam ceramah/kempen di Presint 9 malam semalam tidak boleh menjadi manifestasi undian jitu kepada Husam.  Penulis yang telah bermastautin sejak 1997 di Putrajaya dan telah melalui dua kali PRU pada PRU11 tahun 2004 dan PRU12 tahun 2008 sedikit sebanyak memahami sikap pengundi Putrajaya.  Setakat untuk buat gempak, bolehla... sebabnya apa, kerana 95% yang datang mendengar kempen malam semalam bukannya pengundi Putrajaya bahkan penyokong PR yang datang dari serata pelosok sekeliling Putrajaya. Kehadiran Mat Taib yang masih panas dengan aura kemasukannya sebagai ahli PAS turut menjadi pemangkin kehadiran penyokong PAS di Putrajaya.  Penulis juga ingin menjelaskan, kekuatan jentera PAS juga diimport dari luar dan bukannya kekuatan YDP PAS Putrajaya.  

Siapa yang tidak mengenali Mike Tyson, dengan gaya dan ketokohan bekas pemimpin UMNO itu, dengan segala skandal yang tidak perlu dibicarakan lagi, akhirnya mencari syorga di dalam PAS. Penulis tidak mahu mempertikaikan keputusan Mat Taib itu kerana dalam sistem demokrasi, setiap rakyat berhak dan bebas membuat pilihan masing-masing.  Penulis tidak pernah mendengar dan melihat kakitangan awam di Putrajaya dihalau keluar dari kuaters atau ditukarkan tempat kerja keluar dari Putrajaya kerana menyokong pembangkang. Tetapi, hari ini kita membaca koran di mana pengurus sebuah cawangan bank mengugut pekerja berbangsa Melayu supaya mengundi pembangkang dan jika tidak akan dibuang kerja. Ugutan sebegitu tidak pernah dilontarkan oleh pemimpin BN!   Persepsi negatif sengaja dilontarkan dan dimomokkan undi tidak telus kerana kertas undi ada nombor siri, kertas undi itu, peti undi ini dan berbagai lagi... Hakikatnya, undi dalam sistem Pilihan raya di negara kita adalah yang terbaik dan telus.  



Statistik Pengundi Berdaftar Parlimen Putrajaya Bagi PRU13

Bagi mengkaji pola pengundi di Parlimen P125 Putrajaya pada PRU 13, jumlah pengundi berdaftar yang telah diwartakan oleh SPR perlulah diketahui.  Berdasarkan laman web SPR, jumlah pengundi terkini yang layak mengundi  bagi Parlimen Putrajaya ialah 15,791 orang iaitu meningkat sebanyak 147% berbanding jumlah pengundi pada PRU 12 (6,387 orang).


Sementara itu, jumlah pengundi wanita seramai 8,090 orang adalah lima peratus (5%) melebihi jumlah pengundi lelaki  yang berjumlah seramai 7,701 orang. 


Golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun membentuk 59.65% daripada jumlah pengundi kali ini iaitu seramai  9,419 orang yang terdiri dari 4,818 berumur antara 20-30 (30.51%) dan 4,601 orang berumur antara 31-40 tahun (29.14%). Sementara itu, seramai 2,857 pengundi (18.09%) berumur antara 41-50 tahun, 2,921 pengundi (18.50%) berumur antara 51-60 tahun dan 594 (3.76%) pengundi berumur melebihi 60 tahun.  


Hampir 60% pengundi muda seperti carta di atas, menguasai jumlah daftar pilihan raya yang telah diwartakan oleh SPR  pada PRU kali ini. Hal ini tidak menghairankan kerana, majoriti penduduk Putrajaya yang juga Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah menempatkan kakitangan kerajaan di mana had umur perkhidmatan mereka antara seawal 19 tahun (lepasan PMR & SPM) hingga bersara wajib pada umur 60 tahun.  Seramai 5% merupakan Pemilih Tidak Hadir yang terdiri dari anggota Polis dan pengundi di Luar Negara dan selebihnya merupakan Pemilih Biasa.

Pertambahan mendadak jumlah pengundi ini berlaku pada suku ketiga dan keempat tahun 2012 kerana polisi penawaran rumah PR1MA di Presint 11 yang telah dibuka tawarannya pada tahun lepas, di mana pemohon hendaklah merupakan pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Putrajaya.  Penulis bersetuju dengan polisi dan syarat ketat ini, bagi memastikan kumpulan sasar pembeli rumah PR1MA adalah penduduk tempatan dan bukannya dibeli bagi tujuan spekulasi harga dan seterusnya dijual mengikut pasaran semasa.



Tuesday 23 April 2013

Analisa PRU11 & PRU12 Parlimen Putrajaya



Mengikut statistik Pilihan raya di kawasan Parlimen P.125 Putrajaya pada tahun 2004 dan 2008, didapati jumlah pemilih berdaftar adalah meningkat dari 5079 orang kepada 6608 orang atau peningkatan sebanyak 30.10 peratus pada tahun 2008. Ini disebabkan Putrajaya adalah pusat perkhidmatan negara menyebabkan ramai pegawai kerajaan terutama yang tinggal dan berhijrah ke Putrajaya.   Selain itu pembangunan di Putrajaya juga meningkat dengan pembinaan tempat-tempat kediaman dan pusat membeli belah.

BN amat berpuashati dengan kemenangan besar dalam PRU 2004. Dengan undi diterima sebanyak 4086 dari 5079 pengundi berdaftar, BN memperolehi 80.44 peratus undi dan calon KeADILan yang mendapat 540 undi telah kehilangan wang deposit. Kemenangan besar tersebut adalah amat signifikan dengan kemenangan besar BN di seluruh negara dan merupakan pengiktirafan dan harapan rakyat kepada kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri ke lima.  Berdasarkan rekod, ia juga merupakan satu gerak kerja cemerlang oleh UMNO Bahagian Putrajaya yang masih dalam penajaan ketika itu, dalam menggerakkan jentera pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya.  Dengan kemenangan tersebut, Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan penaja Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut dipilih tanpa bertanding sebagai  Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dalam pemilihan UMNO Bahagian pada Jun 2004, di pilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada September 2004 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Kabinet yang memegang potfolio Menteri Pelancongan 14 Februari 2006.  Walaupun KeADILan tidak mempunyai tapak yang kuat di Putrajaya, tetapi jentera pilihan raya mereka menunjukkan semangat yang tinggi dalam tempoh kempen PRU 2004.  Jentera mereka seboleh-bolehnya meyaingi BN dalam pemasangan bendera dan poster serta ceramah dalam kempen untuk menarik pengundi. Beberapa insiden pergaduhan telah direkodkan seperti pergaduhan antara jentera parti di Apartment Presint 16 dan Jambatan Seri Bestari di Presint 9 yang berlaku akibat perbuatan jentera KeADILALan mencabut bendera-bendera BN pada waktu tengah hari. Sejumlah enam aduan telah direkodkan oleh SPR sepanjang tempoh kempen PRU 2004 di Putrajaya (Laporan PRU 2004:SPR).

Namun begitu, seiring dengan tsunami politik negara pada PRU-12 2008, Parlimen Putrajaya turut menerima tempiasnya.  Walaupun masih mengekalkan kemenangan, jumlah undi yang diterima Pas dalam PRU 12 meningkat lebih baik berbanding undi yang diperolehi oleh KeADILan pada PRU 11. Walaupun berlaku peningkatan jumlah pengundi berdaftar, tetapi undi yang diterima oleh BN telah menyusut sebanyak 1.17 peratus, dari 4086 undi diperolehi pada PRU 2004 kepada 4038 sahaja undi diperolehi pada PRU 2008 iaitu kehilangan sekitar 48 undi. Sungguhpun jumlah kehilangan undi tersebut adalah kecil, namun ia amat membimbangkan BN kerana sejumlah 1529 pertambahan pengundi baru pada PRU 2008 seolah-olah dibaca berpihak kepada PAS. Bacaan statistik pula menunjukkan, peratus orang yang mengundi pula menurun dari 91.79% pada PRU 2004 kepada 81.96%. pada PRIU 2008. Penurunan tersebut merupakan tahun kemerosotan Barisan Nasional dan tahun kebangkitan Pakatan Rakyat (PR). Jumlah undi yang rosak juga meningkat dari 28 kepada 38 undi. Peratusan majoriti menang juga menurun iaitu daripada 76.52% kepada 50.84%, walaupun calon dari Barisan Nasional masih mengekalkan tampuk kepimpinan di Putrajaya. 

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kemerosotan undi calon Barisan Nasional antaranya ialah undi protes terhadap calon, pengundi yang telah berpindah ke tempat lain kerana pertukaran biasa (kakitangan kerajaan) dan bagi pasangan pula mengikut pasangan bertukar, telah bersara dan kematian, faktor isu tempatan seperti kekurangan tempat letak kereta awam dan sekolah agama, faktor isu nasional seperti kenaikan harga barangan disebabkan kenaikan harga petrol dan faktor Tun Mahathir yang tidak menyokong kepimpinan Pak Lah.  Selain dari faktor-faktor yang telah disebutkan, jentera PAS juga bergerak  lebih tersusun dalam gerak kerja PRU 2008 berbanding KeADILan pada 2004. Ini kerana PAS mempunyai asas dan sokongan disetiap penempataan atau kuaters kerajaan dan surau-surau serta masjid juga didominasi oleh penyokong PAS. 

Perangkaan terkini oleh SPR menunjukkan jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Putrajaya sehingga 31 Disember 2011 ialah 10,142 orang saja berbanding jumlah penduduk seramai 68,361 orang (bancian 2010). Ia hanya meningkat sebanyak 3,534 orang atau 53.48 peratus dari jumlah pengundi 2008.  Bilangan pengundi berdaftar tersebut masih kecil berbanding jumlah penduduk Putrajaya berusia lebih 21 tahun seramai 18,664 orang atau 27.30 peratus dari jumlah penduduk Putrajaya.  Daripada jumlah tersebut, jumlah pengundi wanita ialah 5,161 orang melebihi jumlah pengundi lelaki 4,981 orang. Kaum Melayu merupakan daftar pemilih yang tertinggi seramai 9296 orang atau 91.65 peratus.  286 orang atau 2.81 peratus terdiri dari kaum India, 97 orang atau 0.95 peratus terdiri dari kaum Cina, 463 orang atau 4.56 peratus terdiri dari lain-lain bangsa dan selebihnya 363 orang atau 3.57 peratus adalah pengundi pos. 

Peningkatan jumlah pengundi tersebut masih kecil tetapi pujian harus diberikan kepada UMNO dan PAS yang gigih menjalankan gerak kerja kempen pendaftaran pengundi baru.  Peningkatan pengundi naik mendadak berlaku sekitar suku keempat tahun 2011 apabila UMNO Putrajaya mendesak JPM yang akan menawarkan rumah PRIMA di Presint 11, Putrajaya dengan mensyaratkan supaya sekurang-kurangnya syarat pemilikan dan permohonannya mestilah terdiri dari pengundi berdaftar di Parlimen Putrajaya. Penulis berpendapat, idea tersebut amat baik sebagai salah satu usaha dan kempen bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan dan kebaikan sebagai pengundi berdaftar disesuatu kawasan.

Namun begitu, menjelang PRU ke-13 ia amat merisaukan jentera pilihan raya BN Putrajaya kerana peningkatan jumlah pengundi sehingga 10,142 berbanding dengan ahli UMNO berdaftar sebagai pengundi Parlimen Putrajaya hanya seramai 2309 orang.  Ini bermakna seramai 7833 orang atau 77.23 peratus merupakan pengundi berdaftar yang bukan terdiri dari ahli UMNO. Sementara itu kaum Melayu seramai 9296 orang merupakan majoriti pengundi berdaftar di Putrajaya. Statistik ini penting kerana Setiap kali pilihan raya peranan pengundi Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon. Pilihan raya merupakan satu ruang kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka memilih kerajaan yang mereka percayai boleh memerintah serta mampu memenuhi kehendak rakyat (Mohd Fo’ad, 1999).   Justeru itu, UMNO Putrajaya melaksanakan pelbagai program berterusan untuk mendekati masyarakat dan pengundi Parlimen Putrajaya di setiap Daerah Peti Undi. Antara program terbaru ialah Program Juara Rakyat yang di adakah di Apartment Presint 16 iaitu sebahagian kawasan Pusat Daerah Mengundi Taman Warisan. Selain daripada itu, sebenarnya UMNO telah menjalankan gerak kerja mendekati rakyat dan pengundi sedia ada sejak dari awal lagi. Tengku Adnan sebagai Ahli Parlimen telah mempersiapkan kempen saikologi awal dengan memberi kad ucapan hari raya setiap tahun dan memberi cenderahati ulangtahun kelahiran kepada setiap pengundi berdaftar di Putrajaya walaupun bukan ahli UMNO.  Bagi warga emas berusia 50 tahun dan ke atas yang terdiri dari pengundi berdaftar di Putrajaya, Pejabat Ahli Parlimen juga memberikan kad rawatan pesakit percuma di klinik panel swasta terpilih dengan kosnya ditanggung oleh Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya. (sumber dari Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).

UMNO Putrajaya juga telah berusaha menyelesaikan pelbagai janji PRU yang lepas dengan meletakkan YBhg. Dato’ Khairuddin bin ES Abd. Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya sebagai salah seorang Ahli Anggota Perbadanan Putrajaya (Board Members), yang dilantik mengikut Seksyen 5 (1) Akta 536 Perbadanan Putrajaya. Pelantikan tersebut dapat membawa suara rakyat ke dalam pelaksanaan dasar Perbadanan Putrajaya sebagai PBT yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan bandar raya Putrajaya. Sekolah Agama Rakyat yang merupakan antara janji Pilihan raya sejak PRU 2004 telah siap dibina di Presint 9, Putrajaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA Putrajaya) juga telah beroperasi sepenuhnya mulai 4 Januari 2011 dengan menumpang sementara di Sekolah Menengah Presint 11(2).  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dalam lawatannya ke Putrajaya pada 27 Januari 2012 yang lepas telah meluluskan cadangan pembinaan Sekolah Menengah Agama Putrajaya di tapak baru seluas 5.6 hektar di Presint 11 pada tahun 2013 dengan kos RM55 juta. Sekolah baru itu nanti akan dilengkapi dengan asra penuh akan dapat menampung seramai  750 orang pelajar.   Tengku Adnan juga turut mengambil berat dengan meluluskan pembesaran dan pembinaan surau dan masjid di penempatan penduduk, pembinaan tempat-tempat letak kereta baru dan pelancaran rumah mampu milik PRIMA yang lebih besar dari sebelumnya. Pemberian netbook 1Malaysia, penyampaian wang RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada ketua keluarga yang layak juga turut dilaksanakan. (Sumber, Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).