Thursday 25 April 2013

Husam 'berpeluh' di Putrajaya



Di atas kertas kini terdapat 15,798 pengundi berdaftar di Putrajaya.Ini satu peningkatan lebih 100 peratus sejak pilihanraya umum 2008, di mana jumlah rasminya hanyalah 6,608 orang sahaja. Pada PRU12, penyandang kerusi parlimen P125 Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menang di situ dengan kelebihan 75 peratus undi. Calon PAS hanya memperolehi 25 peratus undi, menjadikan Putrajaya antara kawasan Parlimen paling selamat dari tsunami ketika itu.

Itu cerita dulu, kini situasi boleh berubah, apatah lagi selepas PAS menamakan Naib Presiden Parti Datuk Husam Musa sebagai 'ayam sabung' mereka untuk merampas kerusi di pusat pentadbiran Malaysia itu. Kalau tengok secara kasar, memanglah nampak gah cabaran Husam terhadap Tengku Adnan itu. Tapi jika kita lihat semua data dan fakta atas meja secara detail, kita tahu cabaran Husam itu hanya 'gempak lebih' saja. Ia bukan cabaran 'do or die' sebab Husam sendiri bertanding dua kerusi, selain Putrajaya, beliau kekal di DUN selamatnya di Salor Kelantan.

Sabtu  sebaik sahaja lepas penamaan calon, Husam bergegas balik ke Kelantan dan hanya akan berkempen di Putarajaya pada Selasa dan Rabu depan, dan pulang semula ke Salor selepas itu. Ketika ditemui Agendadaily di pusat penamaan calon Presint 9, kata Husam, bertanding dua kerusi bukan hal, sebab sekarang zaman online. Menurutnya, 89 peratus penduduk Putrajaya mempunyai akses pada internet, jadi beliau akan berkempen secara online.

"Sekarang banyak kemudahan, saya boleh ulang alik, ada MAS, Air Asia, Firefly, tak ada masalah,"kata Husam jawab mengenai jauhnya Salor dan Putrajaya, dua kawasan yang  ditandinginya dalam PRU13 ini. Untuk perbandingan, beberapa pemimpin pembangkang lain bertanding dua kerusi biasanya di dalam negeri yang sama atau berdekatan. Antaranya, Azmin Ali di DUN Bukit  Antarabangsa dan Parlimen Gombak, Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak. Lim Guan Eng Parlimen Bagan dan DUN Air Putih. Begitu juga dengan bos DAP Perak Ngeh bersaudara yang bertanding dua kerusi.



Hanya Husam yang buat lain macam bertanding DUN di Kelantan dan Parlimen di Putrajaya yang mana yang jaraknya 480 kilometer antara satu sama lain. Husam sendiri tidak bertanding di peringkat nasional sejak 2004, sedangkan kedudukan sebagai antara orang nombor tiga dalam parti menuntut beliau melakukan sesuatu di peringkat nasional. Tapi masalah dengan Husam adalah beliau bukan tidak mempunyai kerusi parlimen di Kelantan. Beliau boleh memilih untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi selamat, tetapi terpaksa lepaskan kerusi DUN. Ia satu percaturan yang 'payah kira' untuk Husam, yang kononnya disebut-sebut antara calon MB Kelantan penganti Nik Aziz.

PRU13 adalah PRU adalah penting, untuk Husam, jika beliau hanya bertanding DUN, publisitinya tidak meluas, tak glamour. Jadi bertanding di Putrajaya, mencabar penyandang kerusi yang berstatus seperti Tengku Adnan  adalah langkah politik untuk kekal relevan di peringkat nasional sekaligus dapat publisiti percuma. Husam sendiri tahu, nasibnya di Putrajaya amat samar, sebab itu beliau lebih senang kata hanya 'mencuba nasib'. Dalam sidang media pertamanya diumumkan sebagai calon PAS Putrajaya, kata Husam,  beliau belum ada keyakinan lagi untuk menang di Putrajaya kerana BN ada tokoh hebat yang kuat.

“PRU 2008 PAS hanya dapat undi sebanyak 25 peratus, salah satu kawasan yang paling rendah jumlah sokongan. “Kalau naik lima peratus pun tak boleh menang juga tapi tak mengapa kita boleh cuba kerana saya datang sini dengan harapan untuk menang,"ujarnya.

Husam mungkin mengharapkan sentimen pengundi luar terutamanya dari Kelantan untuk mengundi beliau di Putrajaya. Tetapi, berdasarkan data, kebanyakkan pekerja berasal dari negeri Kelantan yang tinggal di Putrajaya mengundi di Kelantan. Bagi rata-rata orang Kelantan, pilihanraya ini macam hari raya, jadi tiap kali PRU mereka berdoyan-doyan pulang ke negeri itu. Sebab itu UMNO atau PAS selalu buat Majlis di Kelantan rai 'pengundi luar' dan biasanya melimpah dengan orang Kelantan yang tinggal di KL tapi mengundi di sana. Maknanya di atas kertas, percaturan Husam jika mengharapkan undi negeri salah. Tengku Adnan  sendiri yakin penuh,  sentimen negeri tidak akan berjaya dalam  meraih sokongan pengundi di Putrajaya.

"Saya berpandangan walaupun calon orang mana sekalipun, rakyat  mempunyai minda terbuka dan mereka akan memilih orang yang mereka kenal, orang yang memahami keperluan mereka dalam kawasan itu. "Saya berkeyakinan bahawa Husam akan ditolak, 'total rejection' sebab beliau datang dari luar Putrajaya." katanya.

Untuk rekod, pada PRU12, dari 5,416 kertas undi yang dikeluarkan, Ku nan memperolehi 4,038 undi manakala lawannya dari PAS hanya 1,304 dan majoriti 2,734. Dalam kata lain, satu kemenangan dua pertiga. Sementara itu, walaupun Husam cuba 'disolekkan' sebagai pemimpin hebat dari Kelantan, cerita sebenarnya akan terlondeh satu persatu di Putrajaya tidak lama lagi. Agendadaily difahamkan beberapa rakan baik Husam akan mendedahkan siapa dirinya yang sebenar di atas pentas BN tidak lama lagi. Antara rakan karibnya itu merupakan penulis blog terkenal yang mana salah seorang daripadanya pernah menjadi 'orang kuat' Husam. Katanya, seorang lagi penulis blog terkenal propembangkang yang kerap menulis cerita politik di peringkat Kelantan dan nasional juga akan berkempen menentang Husam.

"Salah seorang blogger terbabit ialah Syed Azidi Syed Abdul Aziz  atau Kickdefella yang menghubungi saya sendiri dan menyatakan kesediaan mendedahkan siapa Husam di atas pentas ceramah BN. "Seorang lagi ialah blogger yang hardcore dengan beliau. Dia datang berjumpa sendiri dengan saya kelmarin. Blogger ini bersembang sehingga pukul 2 pagi dan berjanji membantu  mendedahkan siapa Husam sebenarnya," Kata Ku Nan selepas Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat di rumahnya semalam. Menurut Ku Nan, semua rakan baik pemimpin kanan PAS itu bersetuju bertindak demikian kerana sayangkan negara.

Selain itu, seorang  usahawan yang pernah terlibat dalam kontroversi projek penternakan kambing bersama Husam beberapa tahun lalu. "Kita sudah jumpa Datuk Amin yang pernah berurus niaga kambing  yang pernah diuar-uarkan oleh Husam satu waktu dulu dengan turut membawa bersama pegawai kewangannya, Fauzi Daud untuk mendedahkan transaksi tersebut," katanya. Husam memang diketahui mempunyai beberapa kontrolversi dalam urusan seharian beliau sebagai exco kerajaan negeri Kelantan. Beberapa 'deal' yang kemudiannya tidak jadi dan menimbulkan keraguan banyak pihak. Selama ini cerita-cerita tersebut hanya berkisah di Kelantan sahaja atau dalam blog-blog politik.

Kini dengan kesempatan PRU13 dan Husam jadi 'ayam tambatan' PAS di Putrajaya, pekung ini sedikit sebanyak akan 'terlondeh'. Macam kisah selebriti, ada harga yang perlu dibayar pada setiap publisiti, mungkin PRU13 menjadi pentas terbaik untuk penduduk Putarajaya khususnya dan rakyat Malaysia seluruhnya menilai Husam Musa. Tunggu... ini baru hari pertama. Ada 14 hari lagi untuk berkempen, pertarungan di Putrajaya ini pasti tambah menarik setiap hari...-21/4/2013- OLEH HELME HANAFI , AGENDADAILY

No comments:

Post a Comment