Wednesday 24 April 2013

Statistik Pengundi Berdaftar Parlimen Putrajaya Bagi PRU13

Bagi mengkaji pola pengundi di Parlimen P125 Putrajaya pada PRU 13, jumlah pengundi berdaftar yang telah diwartakan oleh SPR perlulah diketahui.  Berdasarkan laman web SPR, jumlah pengundi terkini yang layak mengundi  bagi Parlimen Putrajaya ialah 15,791 orang iaitu meningkat sebanyak 147% berbanding jumlah pengundi pada PRU 12 (6,387 orang).


Sementara itu, jumlah pengundi wanita seramai 8,090 orang adalah lima peratus (5%) melebihi jumlah pengundi lelaki  yang berjumlah seramai 7,701 orang. 


Golongan muda yang berumur di bawah 40 tahun membentuk 59.65% daripada jumlah pengundi kali ini iaitu seramai  9,419 orang yang terdiri dari 4,818 berumur antara 20-30 (30.51%) dan 4,601 orang berumur antara 31-40 tahun (29.14%). Sementara itu, seramai 2,857 pengundi (18.09%) berumur antara 41-50 tahun, 2,921 pengundi (18.50%) berumur antara 51-60 tahun dan 594 (3.76%) pengundi berumur melebihi 60 tahun.  


Hampir 60% pengundi muda seperti carta di atas, menguasai jumlah daftar pilihan raya yang telah diwartakan oleh SPR  pada PRU kali ini. Hal ini tidak menghairankan kerana, majoriti penduduk Putrajaya yang juga Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan adalah menempatkan kakitangan kerajaan di mana had umur perkhidmatan mereka antara seawal 19 tahun (lepasan PMR & SPM) hingga bersara wajib pada umur 60 tahun.  Seramai 5% merupakan Pemilih Tidak Hadir yang terdiri dari anggota Polis dan pengundi di Luar Negara dan selebihnya merupakan Pemilih Biasa.

Pertambahan mendadak jumlah pengundi ini berlaku pada suku ketiga dan keempat tahun 2012 kerana polisi penawaran rumah PR1MA di Presint 11 yang telah dibuka tawarannya pada tahun lepas, di mana pemohon hendaklah merupakan pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Putrajaya.  Penulis bersetuju dengan polisi dan syarat ketat ini, bagi memastikan kumpulan sasar pembeli rumah PR1MA adalah penduduk tempatan dan bukannya dibeli bagi tujuan spekulasi harga dan seterusnya dijual mengikut pasaran semasa.



No comments:

Post a Comment