Thursday 5 July 2012

Sejarah Pembentukan Parlimen, Putrajaya


1.0       PENGENALAN

Sebelum kita melangkah ke persainagn PRU-13, alangkah moleknya kalian mengetahui bagaimana sejarah  persempadanan bagi menwujudkan kerusi Parlimen Putrajaya. Ramai masyarakat di luar sana termasuklah aktivis-aktivis politik di Putrajaya yang gagal atau tidak mengetahui bagaimanakah dan bilakah kerusi Parlimen P125 Putrajaya diwujudkan. Justeru itu, mari kita sama-sama membaca artikel yang tidak seberapa akademik ini untuk ilmu dan menambahkan pengetahuan yang sedia cetek.

1.1       KEWUJUDAN KERUSI PARLIMEN PUTRAJAYA

Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen P125 Putrajaya telah dibuat selepas pewujudan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Februari 2001 melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A 1095] yang mewujudkan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang diluluskan di Parlimen dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2001. Mengikut perkara 113 (3A) Perlembagaan Persekutuan, satu urusan ulangkajian persempadanan Bahagian Pilihan Raya perlu diadakan bagi Bahagian Pilihan Raya yang terjejas dan ulangkajian ini hendaklah diselesaikan dalam tempoh 2 tahun dari tarikh kuatkuasanya undang-undang.  Ini bererti urusan persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Putrajaya perlu diselesaikan oleh SPR tidak lewat dari 31 Januari 2003.

Kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebelum ini terletak dalam Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.  Ia merupakan satu Daerah Mengundi dalam bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri N.47 Dengkil dan terletak di dalam bahagian Parlimen pilihan raya P.102 Sepang, Selangor.  SPR dalam menjalankan ulangkajian persempadanan bahagian Pilihan Raya Parlimen Putrajaya telah mengujudkan sebanyak lima Daerah Mengundi supaya pada masa akan datang memudahkan pengundi-pengundi untuk menentukan kawasan mengundi.  Pengwujudan daerah Mengundi ini adalah berdasarkan kepada percantuman beberapa presint yang berhampiran mengikut kesesuaian dan kemudahan perhubungan.  Daerah-daerah Mengundi yang telah diwujudkan dikenali sebagai berikut:-

Jadual 1.1: Kawasan Daerah Mengundi Parlimen P.125 Putrajaya
BIL.
DAERAH MENGUNDI
KELUASAN
PRESINT
1.
Taman Saujana Hijau
125/00/01
9.84 kmp
Presint 11 & 13
2.
Taman Metropolitan
125/00/02
3.75 kmp
Presint 9 & 10
3.
Taman Putra Perdana
125/00/03
12.44 kmp
Presint 1,12,14 & 15
4.
Taman Puncak Puteri
125/00/04
8.4 kmp
Presint 2,3,4,7 & 8
5.
Taman Warisan
125/00/05
14.82 kmp
Presint 5,6,16,17,18,19 & 20
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bahagian Parlimen P.125 Putrajaya sepertimana yang telah disyorkan oleh SPR telah dibentangkan di Dewan Rakyat.  Cadangan telah dipersetujui oleh Dewan Rakyat pada sesi Parlimen Februari / Mac 2002.  Dewan Rakyat telah meluluskannya dan selepas diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Bahagian Parlimen Putrajaya berkuatkuasa pada 31 Julai 2002. 

Selepas persempadanan Bahagian Pilihan raya 2003 diwartakan, Bahagian Pilihan Raya Parlimen P125 merupakan sebahagian daripada 222 Bahagian Parlimen di seluruh negara.  Mengikut daftar pemilih tahun 2001 yang disahkan pada 27 Disember 2001, jumlah pemilih yang berdaftar dalam Bahagian Parlimen Putrajaya ialah seramai 85 orang sahaja dan ia adalah tidak mengikut kriteria yang ditetapkan bagi pewujudan sesebuah bahagian kawasan parlimen yang ditetapkan.  Menurut prinsip bagi membelah bahagi Bahagian Pilihan raya, purata bilangan pemilih untuk sesuatu daerah mengundi di kawasan Bandar ialah lebih kurang 2001 pemilih dan ke atas. Dengan itu juga, satu-satu daerah mengundi di kawasan Bandar mungkin mempunyai pemilih sehingga 100,000 orang pemilih jika mereka menukar alamat baru di Putrajaya dan seterusnya mendaftarkan sebagai pemilih. (Berita SPR:2002).
           
Berdasarkan rekod, pecahan daftar pemilih yang diwartakan dalam PRU 2004 dan PRU 2008, hanya empat sahaja PDM yang mempunyai pemilih kerana PDM Taman Putra Perdana yang meliputi Presint 1, merupakan kawasan pejabat kerajaan serta tidak mempunyai penempatan penduduk seperti rumah dan kuaters. Sementara kediaman awam dan kuaters kerajaan di Presint 12,14 & 15 pula masih dalam pembinaan dan  belum didiami.

1.2       BILANGAN PENGUNDI DI PUTRAJAYA PRU 2004 DAN PRU 2008

Parlimen Putrajaya mempunyai keunikan yang tersendiri dari jumlah bilangan pengundi berdaftar berbanding kawasan-kawasan Parlimen yang lain. Berdasarkan perangkaan yang dikeluarkan oleh SPR, pada PRU ke-11 2004, jumlah pengundi berdaftar hanyalah seramai 5079 dengan 4919 adalah pengundi biasa dan 160 adalah pengundi pos. Sementara itu, pada PRU ke-12 2008, jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Putrajaya ialah seramai 6608 sahaja, iaitu peningkatan sebanyak 1529 pemilih atau 30.10 peratus. 

1.3       PRU 2004 PARLIMEN PUTRAJAYA

Pilihan Raya Umum ke-11 pada tahun 21 Mac 2004 merupakan pilihan raya yang bersejarah bagi Putrajaya kerana buat pertama kalinya pengundi berdaftar di Putrajaya berpeluang untuk memilih wakil rakyat yang pertama bagi Putrajaya. Parlimen dibubarkan pada 4 Mac 2004 dan PRU ke-11 diadakan selepas 125 hari Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang ke-5 bagi menggantikan Tun Mahathir Mohamad. Chamil Wariya (2004:209). Dalam PRU ke-11, calon BN bagi Parlimen Putrajaya ialah Tengku Adnan Tengku Mansor telah ditentang oleh Abdul Rahman Othman dari Parti Keadilan (KeADILan).  

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya, jumlah pengundi yang berdaftar  di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU ke-11 pada 21 Mac 2004 adalah seramai 5079 orang dengan 4919 orang pengundi biasa dan 160 orang pengundi pos. Jumlah pengundi yang keluar mengundi pula adalah sebanyak 4662 orang kurang daripada jumlah yang berdaftar sebagai pengundi. Manakala undi rosak pula adalah sebanyak 28. Ia merupakan suatu jumlah yang kecil. Calon yang telah memenangi pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya adalah  Tengku Adnan bin Tengku Mansor daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mengalahkan Abdul Rahman bin Othman daripada Parti Keadilan (KeADILan) dengan majoriti undi sebanyak 3546 undi. Abdul Rahman bin Othman  dari Parti Keadilan (KeADILan) hanya menerima 540 undi telah kehilangan wang deposit.

Jadual 1.2: Maklumat PRU ke-11 Putrajaya,2004
MAKLUMAT KAWASAN
PARLIMEN
P125
KAWASAN
PUTRAJAYA
TARIKH PILIHAN RAYA
21/3/2004
STATISTIK
BILANGAN
PERATUS
PEMILIH BERDAFTAR
5079

PENGUNDI
4662
91.79
UNDI ROSAK
28
0.60
MAJORITI KEMENANGAN
3546
76.52
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia


Jadual 1.3: Maklumat Calon PRU ke-11 Putrajaya,2004
NAMA CALON
PARTI
UNDI
PERATUS
KEPUTUSAN
TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
BN
4086
88.17
MENANG
ABDUL RAHMAN BIN OTHMAN
KEADILAN
540
11.65
HILANG DEPOSIT
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bagi menguruskan proses Pilihan raya Parlimen Putrajaya pada 21 Mac 2004, Tuan Haji Muhamad Haitamin bin Ishak iaitu Timbalan Pengarah, Bahagian Pentadbiran Tanah, Perbadanan Putrajaya telah dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan raya.  SPR juga telah menyediakan satu Pusat Penamaan Calon iaitu di Dewan Serbaguna, Presint 8.  Lima buah Pusat Mengundi, 33 tempat Saluran Mengundi, satu Pusat Penjumlahan Undi dan tiga Barung SPR. (SPR, Laporan Pilihan Raya Umum 2004).

1.4       PRU 2008 PARLIMEN PUTRAJAYA

Mengikut sumber dari SPR, jumlah pengundi yang berdaftar  di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 adalah seramai 6608. Berdasarkan kertas undi (ballot paper) yang dikeluarkan, jumlah pengundi pada hari mengundi adalah seramai 5416 orang iaitu 82.0 peratus jumlah keluar mengundi. Undi rosak pula adalah sebanyak 38 undi. Terdapat juga 36 kertas undi yang tidak dikembalikan. Tengku Adnan bin Tengku Mansor yang mewakili Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperolehi undi sebanyak 4038, mengalahkan Mohamad Noor bin Mohamad daripada parti PAS dengan majoriti undian 2734 undi. Mohamad Noor bin Mohamad menerima undi sebanyak 1304. 

Jadual 1.4: Maklumat PRU ke-12 Putrajaya,2008
MAKLUMAT KAWASAN
PARLIMEN
P125
KAWASAN
PUTRAJAYA
TARIKH PILIHAN RAYA
8/3/2008
STATISTIK
BILANGAN
PERATUS
PEMILIH BERDAFTAR
6608

PENGUNDI
5416
81.96
UNDI ROSAK
38
0.70
KERTAS UNDI TIDAK DIKEMBALIKAN
36

MAJORITI KEMENANGAN
2734
50.84
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Jadual 1.5: Maklumat Calon PRU ke-12 Putrajaya,2008
NAMA CALON
PARTI
UNDI
PERATUS
KEPUTUSAN
TENGKU ADNAN B. TENGKU MANSOR
BN
4,038
75.84
MENANG
MOHAMAD NOOR B. MOHAMAD
PAS
1,304
24.25
KALAH
Sumber: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia

Bagi menguruskan proses Pilihan raya Parlimen Putrajaya ke-12 pada 8 Mac 2008, YBhg. Datuk Muhamad Haitamin bin Ishak iaitu Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Putrajaya masih dikekalkan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan raya.  Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) juga telah menyediakan satu Pusat Penamaan Calon iaitu di Dewan Serbaguna,Presint 9, Putrajaya.