Sunday 28 April 2013

Temberang Husam di Putrajaya

DI sebuah masjid di Putrajaya sementara menunggu ketibaan jenazah seorang pegawai kanan kastam Jumaat lepas, calon Pas kerusi Parlimen itu, Datuk Husam Musa tiba-tiba bangun untuk menunaikan solat sunat.

Ia sejurus selesai solat Asar ketika para jemaah masih berteleku di sejadah. Selepas itu Husam mengambil al-Quran sebelum beberapa minit kemudian disusuli isyarat tangan daripadanya sendiri seraya menunjukkan tanda bagus ke arah seseorang.

Rupa-rupanya isyarat itu ditujukan kepada seseorang yang sedang merakamkan adegan itu. Dipercayai, untuk dimuatkan ke dalam blog pemimpin Pas itu. Sewaktu jenazah sampai pun, tak habis-habis Husam merapati jenazah, sambil asyik dirakamkan oleh rakannya tadi. Memerhatikan adegan itu adalah para jemaah termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon BN selama dua penggal di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Dalam kalangan orang Pas sendiri di Putrajaya, mereka merasakan sesuatu yang janggal mengapa Pas menampilkan Husam ke situ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Semua maklum dia terpaksa 'terbang ke sini, ke sana' sepanjang dua minggu kempen pilihan raya ini. Sekejap di DUN Salor, Kelantan dan sekejap di Putrajaya - bertanding dua kerusi serentak.

Namun bagi penjawat awam serta penduduk Putrajaya, mereka sedar akan gelagat temberang Husam.

Di Putrajaya dalam beberapa hari ini, Husam mencanangkan mahu menurunkan cukai pintu seluruh rumah dan kediaman di situ. Padahal bukan dia tak tahu, atau sengaja 'tidak mahu ambil tahu' yang kira-kira 90 peratus kediaman di Putrajaya adalah kuarters kerajaan. Mana ada dikenakan cukai pintu. Selepas itu habis diuar-uarkan supaya dilaksanakan konsep jual beli kuarters kerajaan kepada staf. Sedangkan umum maklum kuarters kerajaan di Putrajaya bukan untuk dijual beli.

Ini kuarters kerajaan. Kakitangan yang bekerja datang dan pergi. Kalau dijual, generasi akan datang yang bekerja di Putrajaya nak tinggal di mana? Kalau asyik fikirkan kepentingan sendiri, sampai ke Nilai pun rumah-rumah yang nak dibina bertebaran untuk penginapan kakitangan Putrajaya. Dan takkan cukup sampai bila-bila.

Demikian juga apabila calon Pas ini cuba memainkan isu Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan kerajaan BN enam bulan lepas. Hal perumahan sememangnya diambil perhatian BN Putrajaya sebelum Husam datang ke situ sehari dua ini. BN menyedari wujud tanggapan 'oleh kerana tinggal di kuarters, penduduknya seakan terlupa mahu membeli hartanah'. Maka, Tengku Adnan mengambil inisiatif berbincang dengan kerajaan untuk melancarkan perumahan penjawat awam 1Malaysia. Difahamkan, sejumlah 11,000 unit rumah akan dibangunkan.

Dari segi isu-isu lain, cuma ada masalah kecil di Presint 9 - meletak kereta. Untuk perumahan di sekitar Seksyen 16, 17, 18 dan 19, sudah disediakan kediaman selesa. Ini termasuk tempat letak kereta berbumbung manakala setiap unit rumah disediakan parkir untuk dua buah kereta.

Jumaat lepas juga Husam mengatakan terdapat kira-kira 100 ahli daripada empat cawangan UMNO masuk Pas. Sedangkan, itu hanyalah gimik Pas yang mana kumpulan itu diketuai oleh seorang individu dikenali 'Shauki'. Berdasarkan semakan akhbar ini, 'Shauki' ialah ahli dan pengikut tegar Pas. Maknanya, kalau nak diperbetulkan majlis masuk Pas itu adalah 'ahli Pas sendiri masuk Pas'.

Di Salor sekarang, Husam menguar-uarkan lagi bahawa dia sudah 'hijaukan' Putrajaya. Gimik Husam mendorong seorang bapa di Kota Bharu menghubungi anaknya, seorang penguat kuasa di ibu pejabat Imigresen untuk mendapat jawapan. Lalu dijawab si anak:

"Adalah bendera dan poster Pas... tapi tidak seperti mana digambarkan Husam. Itu bohong Husam ja."

Malah, Husam dalam ceramah di sekitar Putrajaya begitu beria-ria mahu menjadikan pusat pentadbiran itu kota Islam. Sedangkan BN sudah buat pun perkara ini. Setakat hari ini sudah 49 surau beroperasi di seluruh Putrajaya termasuk tujuh dinaik taraf surau Jumaat. Masjid pula ada dua buah. Sekolah rendah agama sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu. Pada Mac lepas ini pun, Tengku Adnan berjaya mendapatkan peruntukan khusus untuk mendirikan sekolah menengah agama berasrama penuh. Tidak cukup Islamkah? Tengku Adnan berjaya menyelesaikan banyak perkara lain termasuklah pembesaran surau. Surau di Presint 14 pun akan beroperasi tidak lama lagi.

Dari segi pengangkutan awam pula, Husam dipercayai tidak boleh terkata apa dah. Penjadualan semula Nadi Putra dan pengangkutan lain sedang dirangka oleh Perbadanan Putrajaya untuk keselesaan penghuni Putrajaya. Malah, Tengku Adnan telah meminta kerajaan menyelesaikan isu 'allignment' monorel yang tersedia ada. Cuma sekarang, kos meletakkan rel, gerabak dan sistem elektroniknya meningkat tinggi.

Setakat ini lebih RM8 bilion dibelanjakan untuk pembangunan Putrajaya. BN suatu ketika cukup menyedari Kuala Lumpur menjadi sub pembangunan dan kuarters untuk penjawat awam. Justeru, kekangan itu dikurangkan dengan beralih ke Putrajaya.

Sabtu lepas, deretan kenderaan begitu panjang boleh dilihat dari lampu isyarat Presint 9 sehingga ke terowong Presint 11. Rupa-rupanya orang ramai memenuhi sesi ceramah Tun Dr. Mahathir. Dikatakan kira-kira 80 peratus khalayak yang hadir merupakan penduduk atau pengundi berdaftar Putrajaya. Dan ia tidak seperti mana program ceramah pakatan pembangkang malam Jumaat lalu yang rata-rata dikenal pasti audiensnya orang luar.

Kalau Husam pun sanggup berbohong kononnya BN bertindak memecat ahli jawatankuasa Surau Presint 11, justeru apa relevannya seseorang dari Pas patut mengatakan dia harus dipilih oleh kira-kira 15,000 pengundi berdaftar Putrajaya.

Menemui Tengku Adnan daripada program bertemu rakyat disertai Dr. Mahathir kelmarin, beliau kelihatan penat tetapi ceria.

"Harap warga Putrajaya termasuk staf-staf sokongan di sini memberi sokongan kepada BN 5 Mei nanti. Dulu Pas nak lelong Putrajaya dan sekarang masih sebut sebut perkara yang sama," katanya kepada kami kira-kira pukul 12.30 tengan malam.

Putrajaya tidak mahu wakil rakyat seperti Husam - yang difahamkan orang Salor pun menolaknya. Putrajaya menolak manusia yang 'berlakon' dalam masjid.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130429/re_06/Melihat-gelagat-temberang-Husam-di-Putrajaya#ixzz2RoMO10Yz
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment