Tuesday 23 April 2013

Analisa PRU11 & PRU12 Parlimen Putrajaya



Mengikut statistik Pilihan raya di kawasan Parlimen P.125 Putrajaya pada tahun 2004 dan 2008, didapati jumlah pemilih berdaftar adalah meningkat dari 5079 orang kepada 6608 orang atau peningkatan sebanyak 30.10 peratus pada tahun 2008. Ini disebabkan Putrajaya adalah pusat perkhidmatan negara menyebabkan ramai pegawai kerajaan terutama yang tinggal dan berhijrah ke Putrajaya.   Selain itu pembangunan di Putrajaya juga meningkat dengan pembinaan tempat-tempat kediaman dan pusat membeli belah.

BN amat berpuashati dengan kemenangan besar dalam PRU 2004. Dengan undi diterima sebanyak 4086 dari 5079 pengundi berdaftar, BN memperolehi 80.44 peratus undi dan calon KeADILan yang mendapat 540 undi telah kehilangan wang deposit. Kemenangan besar tersebut adalah amat signifikan dengan kemenangan besar BN di seluruh negara dan merupakan pengiktirafan dan harapan rakyat kepada kepada Pak Lah sebagai Perdana Menteri ke lima.  Berdasarkan rekod, ia juga merupakan satu gerak kerja cemerlang oleh UMNO Bahagian Putrajaya yang masih dalam penajaan ketika itu, dalam menggerakkan jentera pilihan raya bagi Parlimen Putrajaya.  Dengan kemenangan tersebut, Tengku Adnan Tengku Mansor yang merupakan penaja Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut dipilih tanpa bertanding sebagai  Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dalam pemilihan UMNO Bahagian pada Jun 2004, di pilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada September 2004 dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Kabinet yang memegang potfolio Menteri Pelancongan 14 Februari 2006.  Walaupun KeADILan tidak mempunyai tapak yang kuat di Putrajaya, tetapi jentera pilihan raya mereka menunjukkan semangat yang tinggi dalam tempoh kempen PRU 2004.  Jentera mereka seboleh-bolehnya meyaingi BN dalam pemasangan bendera dan poster serta ceramah dalam kempen untuk menarik pengundi. Beberapa insiden pergaduhan telah direkodkan seperti pergaduhan antara jentera parti di Apartment Presint 16 dan Jambatan Seri Bestari di Presint 9 yang berlaku akibat perbuatan jentera KeADILALan mencabut bendera-bendera BN pada waktu tengah hari. Sejumlah enam aduan telah direkodkan oleh SPR sepanjang tempoh kempen PRU 2004 di Putrajaya (Laporan PRU 2004:SPR).

Namun begitu, seiring dengan tsunami politik negara pada PRU-12 2008, Parlimen Putrajaya turut menerima tempiasnya.  Walaupun masih mengekalkan kemenangan, jumlah undi yang diterima Pas dalam PRU 12 meningkat lebih baik berbanding undi yang diperolehi oleh KeADILan pada PRU 11. Walaupun berlaku peningkatan jumlah pengundi berdaftar, tetapi undi yang diterima oleh BN telah menyusut sebanyak 1.17 peratus, dari 4086 undi diperolehi pada PRU 2004 kepada 4038 sahaja undi diperolehi pada PRU 2008 iaitu kehilangan sekitar 48 undi. Sungguhpun jumlah kehilangan undi tersebut adalah kecil, namun ia amat membimbangkan BN kerana sejumlah 1529 pertambahan pengundi baru pada PRU 2008 seolah-olah dibaca berpihak kepada PAS. Bacaan statistik pula menunjukkan, peratus orang yang mengundi pula menurun dari 91.79% pada PRU 2004 kepada 81.96%. pada PRIU 2008. Penurunan tersebut merupakan tahun kemerosotan Barisan Nasional dan tahun kebangkitan Pakatan Rakyat (PR). Jumlah undi yang rosak juga meningkat dari 28 kepada 38 undi. Peratusan majoriti menang juga menurun iaitu daripada 76.52% kepada 50.84%, walaupun calon dari Barisan Nasional masih mengekalkan tampuk kepimpinan di Putrajaya. 

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kemerosotan undi calon Barisan Nasional antaranya ialah undi protes terhadap calon, pengundi yang telah berpindah ke tempat lain kerana pertukaran biasa (kakitangan kerajaan) dan bagi pasangan pula mengikut pasangan bertukar, telah bersara dan kematian, faktor isu tempatan seperti kekurangan tempat letak kereta awam dan sekolah agama, faktor isu nasional seperti kenaikan harga barangan disebabkan kenaikan harga petrol dan faktor Tun Mahathir yang tidak menyokong kepimpinan Pak Lah.  Selain dari faktor-faktor yang telah disebutkan, jentera PAS juga bergerak  lebih tersusun dalam gerak kerja PRU 2008 berbanding KeADILan pada 2004. Ini kerana PAS mempunyai asas dan sokongan disetiap penempataan atau kuaters kerajaan dan surau-surau serta masjid juga didominasi oleh penyokong PAS. 

Perangkaan terkini oleh SPR menunjukkan jumlah pengundi berdaftar bagi Parlimen Putrajaya sehingga 31 Disember 2011 ialah 10,142 orang saja berbanding jumlah penduduk seramai 68,361 orang (bancian 2010). Ia hanya meningkat sebanyak 3,534 orang atau 53.48 peratus dari jumlah pengundi 2008.  Bilangan pengundi berdaftar tersebut masih kecil berbanding jumlah penduduk Putrajaya berusia lebih 21 tahun seramai 18,664 orang atau 27.30 peratus dari jumlah penduduk Putrajaya.  Daripada jumlah tersebut, jumlah pengundi wanita ialah 5,161 orang melebihi jumlah pengundi lelaki 4,981 orang. Kaum Melayu merupakan daftar pemilih yang tertinggi seramai 9296 orang atau 91.65 peratus.  286 orang atau 2.81 peratus terdiri dari kaum India, 97 orang atau 0.95 peratus terdiri dari kaum Cina, 463 orang atau 4.56 peratus terdiri dari lain-lain bangsa dan selebihnya 363 orang atau 3.57 peratus adalah pengundi pos. 

Peningkatan jumlah pengundi tersebut masih kecil tetapi pujian harus diberikan kepada UMNO dan PAS yang gigih menjalankan gerak kerja kempen pendaftaran pengundi baru.  Peningkatan pengundi naik mendadak berlaku sekitar suku keempat tahun 2011 apabila UMNO Putrajaya mendesak JPM yang akan menawarkan rumah PRIMA di Presint 11, Putrajaya dengan mensyaratkan supaya sekurang-kurangnya syarat pemilikan dan permohonannya mestilah terdiri dari pengundi berdaftar di Parlimen Putrajaya. Penulis berpendapat, idea tersebut amat baik sebagai salah satu usaha dan kempen bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan dan kebaikan sebagai pengundi berdaftar disesuatu kawasan.

Namun begitu, menjelang PRU ke-13 ia amat merisaukan jentera pilihan raya BN Putrajaya kerana peningkatan jumlah pengundi sehingga 10,142 berbanding dengan ahli UMNO berdaftar sebagai pengundi Parlimen Putrajaya hanya seramai 2309 orang.  Ini bermakna seramai 7833 orang atau 77.23 peratus merupakan pengundi berdaftar yang bukan terdiri dari ahli UMNO. Sementara itu kaum Melayu seramai 9296 orang merupakan majoriti pengundi berdaftar di Putrajaya. Statistik ini penting kerana Setiap kali pilihan raya peranan pengundi Melayu memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan seseorang calon. Pilihan raya merupakan satu ruang kepada rakyat untuk menggunakan hak mereka memilih kerajaan yang mereka percayai boleh memerintah serta mampu memenuhi kehendak rakyat (Mohd Fo’ad, 1999).   Justeru itu, UMNO Putrajaya melaksanakan pelbagai program berterusan untuk mendekati masyarakat dan pengundi Parlimen Putrajaya di setiap Daerah Peti Undi. Antara program terbaru ialah Program Juara Rakyat yang di adakah di Apartment Presint 16 iaitu sebahagian kawasan Pusat Daerah Mengundi Taman Warisan. Selain daripada itu, sebenarnya UMNO telah menjalankan gerak kerja mendekati rakyat dan pengundi sedia ada sejak dari awal lagi. Tengku Adnan sebagai Ahli Parlimen telah mempersiapkan kempen saikologi awal dengan memberi kad ucapan hari raya setiap tahun dan memberi cenderahati ulangtahun kelahiran kepada setiap pengundi berdaftar di Putrajaya walaupun bukan ahli UMNO.  Bagi warga emas berusia 50 tahun dan ke atas yang terdiri dari pengundi berdaftar di Putrajaya, Pejabat Ahli Parlimen juga memberikan kad rawatan pesakit percuma di klinik panel swasta terpilih dengan kosnya ditanggung oleh Pejabat Ahli Parlimen Putrajaya. (sumber dari Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).

UMNO Putrajaya juga telah berusaha menyelesaikan pelbagai janji PRU yang lepas dengan meletakkan YBhg. Dato’ Khairuddin bin ES Abd. Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya sebagai salah seorang Ahli Anggota Perbadanan Putrajaya (Board Members), yang dilantik mengikut Seksyen 5 (1) Akta 536 Perbadanan Putrajaya. Pelantikan tersebut dapat membawa suara rakyat ke dalam pelaksanaan dasar Perbadanan Putrajaya sebagai PBT yang bertanggungjawab ke atas kesejahteraan bandar raya Putrajaya. Sekolah Agama Rakyat yang merupakan antara janji Pilihan raya sejak PRU 2004 telah siap dibina di Presint 9, Putrajaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA Putrajaya) juga telah beroperasi sepenuhnya mulai 4 Januari 2011 dengan menumpang sementara di Sekolah Menengah Presint 11(2).  YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran dalam lawatannya ke Putrajaya pada 27 Januari 2012 yang lepas telah meluluskan cadangan pembinaan Sekolah Menengah Agama Putrajaya di tapak baru seluas 5.6 hektar di Presint 11 pada tahun 2013 dengan kos RM55 juta. Sekolah baru itu nanti akan dilengkapi dengan asra penuh akan dapat menampung seramai  750 orang pelajar.   Tengku Adnan juga turut mengambil berat dengan meluluskan pembesaran dan pembinaan surau dan masjid di penempatan penduduk, pembinaan tempat-tempat letak kereta baru dan pelancaran rumah mampu milik PRIMA yang lebih besar dari sebelumnya. Pemberian netbook 1Malaysia, penyampaian wang RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada ketua keluarga yang layak juga turut dilaksanakan. (Sumber, Pejabat UMNO Bahagian Putrajaya).

No comments:

Post a Comment