Friday 3 May 2013

Janji Ditepati, Bukan Manifesto Murahan

Lebih satu dekad yang lalu, penulis masih ingat, antara keluhan penduduk awal yang diarahkan paksa berpindah dan mendiami kuaters di Putrajaya ialah masalah infrastruktur yang masih belum siap. Ramai yang merungut dengan ketiadaan pasar awam, kedai runcit, pusat membeli belah, padang bola awam, surau yang kecil dan satu-satunya masjid ialah Masjid Putra serta parking yang tidak mencukupi. Ketika itu juga, kepimpinan BN sedang menghadapi masalah getir dengan serangan matawang ringgit dan reformasi yang digerakkan oleh Anwar Ibrahim.

UMNO ditubuhkan kerana dipercayai oleh penduduk Putrajaya, mampu untuk menjadi wadah dan mendengar rintihan suara rakyat memenuhi desakan mereka. 2002 merupakan tempoh awal penajaan UMNO Putrajaya. Arwah Hj. Fadhil merupakan Setiausaha UMNO Bahagian pertama yang bertungkus lumus menubuhkan UMNO Putrajaya, dibimbing oleh Tengku Adnan sebagai Ketua Bahagian. PRU 11, tahun 2004 Tengku Adnan telah menang dengan bergaya mengalahkan calon dari KeADILan. Sejak dari itu, wakil rakyat BN telah mengotakan janji dan memenuhi hampir 100 peratus apa yang dikehendaki oleh masyarakat Putrajaya. Sekiranya anda tidak percaya, penulis minta penghuni atau penduduk baru Putrajaya sekarang ini, carilah buku-buku laporan tahunan UMNO Bahagian Putrajaya, Wanita, Pemuda dan Puteri. Buku laporan berkenaan merekodkan segala desakan akar umbi UMNO Putrajaya seperti masalah parking, sekolah agama, surau, masjid, padang bola, futsal, sewa gerai, kuaters, rumah dal pelbagai lagi.

Menariknya, seperti yang telah penulis nyatakan di atas, hampir kesemua desakan yang dibawakan oleh ahli UMNO telah direalisasikan oleh wakil rakyat BN. Penggal pertama, Tengku Adnan telah dilantik sebagai menteri dan penggal kedua sebagai SU Agong UMNO. Kedudukan beliau membolehkan semua keluhan rakyat Putrajaya dibisikkan terus ketelinga Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri. Pun begitu, prosedur pembangunan tetap diikuti dengan Perbadanan Putrajaya menjadi penyelaras dengan peruntukan serta pelantikan kontraktor diuruskan oleh Bhg. Kontrak Perbadanan Putrajaya tanpa campur tangan politik. Ini boleh disahkan oleh Tan Sri Samsudin mantan Presiden PPj.

Persepsi buruk terhadap kerajaan BN disegarkan oleh pembangkang di Putrajaya melalui kuliah-kuliah agama di surau-surau pada setiap hari. Ini adalah strategi halus ustaz-ustaz ini yang sambil memberi kuliah, mereka "mencari makan" juga (bukan semua). Sambil menyelam, minum air. YDP PAS Putrajaya sekarang, mula rapat dan berjinak-jinak dengan pegawai-pegawai Perbadanan Putrajaya sejak tahun 1998 lagi dengan menyampaikan kuliah di surau Pejabat PPj lama di Presint 14. Akhirnya dapat juga gerai No.1 di Medan Selera Presint 8. Mereka ini hipokrit, mengata UMNO koronism dan pelbagai lagi tohmahan, tetapi dengan serban tinggi juga mereka mengambil kesempatan...Hanya Allah sahaja yang mengetahui niat dan isi hati mereka, antara Tengku Adnan dan Husam Musa, belum tentu yang selalu memakai kopiah putih itu masuk syurga terlebih dahulu.

Kepada rakan pengundi Parlimen Putrajaya, apabila memegang kertas undi esok, pangkahlah kotak yang di sebelah atas bersebelahan nama Tengku Adnan Tengku Mansor dan gambar dacing. Bulan dan dacing di dalam kertas undi tidak punya warna. Tiada warna biru atau hijau di dalam kertas undi. Begitulah tamsilan di alam akhirat, tiada nanti warna hijau dipakai di padang mahsyar. Pilihlah nama yang di atas, nombor wahid dan bukan yang di bawah. Insyallah, kita akan terus dirahmati Allah.

Wednesday 1 May 2013

Petugas PAS Pengotor?

Penulis menerima blast sms dari pihak berkenaan yang meminta petugas Pas dari luar menjaga kebersihan Surau An-Najjah Presint 9, Putrajaya. Memang menjadi kelaziman petugas Pas dari luar kawasan untuk menggunakan sepenuhnya kemudahan surau dan masjid setiap kali pilihan raya. Tapi dah berkelah tu pandai-pandailah bersihkan. Jangan jadikan budaya pengotor di tempat anda di rumah Allah. Kan Islam itu bersih, apa maknanya dengan parti Islam kalau pengotor?

Sunday 28 April 2013

Temberang Husam di Putrajaya

DI sebuah masjid di Putrajaya sementara menunggu ketibaan jenazah seorang pegawai kanan kastam Jumaat lepas, calon Pas kerusi Parlimen itu, Datuk Husam Musa tiba-tiba bangun untuk menunaikan solat sunat.

Ia sejurus selesai solat Asar ketika para jemaah masih berteleku di sejadah. Selepas itu Husam mengambil al-Quran sebelum beberapa minit kemudian disusuli isyarat tangan daripadanya sendiri seraya menunjukkan tanda bagus ke arah seseorang.

Rupa-rupanya isyarat itu ditujukan kepada seseorang yang sedang merakamkan adegan itu. Dipercayai, untuk dimuatkan ke dalam blog pemimpin Pas itu. Sewaktu jenazah sampai pun, tak habis-habis Husam merapati jenazah, sambil asyik dirakamkan oleh rakannya tadi. Memerhatikan adegan itu adalah para jemaah termasuk Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, calon BN selama dua penggal di Pusat Pentadbiran Persekutuan itu.

Dalam kalangan orang Pas sendiri di Putrajaya, mereka merasakan sesuatu yang janggal mengapa Pas menampilkan Husam ke situ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Semua maklum dia terpaksa 'terbang ke sini, ke sana' sepanjang dua minggu kempen pilihan raya ini. Sekejap di DUN Salor, Kelantan dan sekejap di Putrajaya - bertanding dua kerusi serentak.

Namun bagi penjawat awam serta penduduk Putrajaya, mereka sedar akan gelagat temberang Husam.

Di Putrajaya dalam beberapa hari ini, Husam mencanangkan mahu menurunkan cukai pintu seluruh rumah dan kediaman di situ. Padahal bukan dia tak tahu, atau sengaja 'tidak mahu ambil tahu' yang kira-kira 90 peratus kediaman di Putrajaya adalah kuarters kerajaan. Mana ada dikenakan cukai pintu. Selepas itu habis diuar-uarkan supaya dilaksanakan konsep jual beli kuarters kerajaan kepada staf. Sedangkan umum maklum kuarters kerajaan di Putrajaya bukan untuk dijual beli.

Ini kuarters kerajaan. Kakitangan yang bekerja datang dan pergi. Kalau dijual, generasi akan datang yang bekerja di Putrajaya nak tinggal di mana? Kalau asyik fikirkan kepentingan sendiri, sampai ke Nilai pun rumah-rumah yang nak dibina bertebaran untuk penginapan kakitangan Putrajaya. Dan takkan cukup sampai bila-bila.

Demikian juga apabila calon Pas ini cuba memainkan isu Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan kerajaan BN enam bulan lepas. Hal perumahan sememangnya diambil perhatian BN Putrajaya sebelum Husam datang ke situ sehari dua ini. BN menyedari wujud tanggapan 'oleh kerana tinggal di kuarters, penduduknya seakan terlupa mahu membeli hartanah'. Maka, Tengku Adnan mengambil inisiatif berbincang dengan kerajaan untuk melancarkan perumahan penjawat awam 1Malaysia. Difahamkan, sejumlah 11,000 unit rumah akan dibangunkan.

Dari segi isu-isu lain, cuma ada masalah kecil di Presint 9 - meletak kereta. Untuk perumahan di sekitar Seksyen 16, 17, 18 dan 19, sudah disediakan kediaman selesa. Ini termasuk tempat letak kereta berbumbung manakala setiap unit rumah disediakan parkir untuk dua buah kereta.

Jumaat lepas juga Husam mengatakan terdapat kira-kira 100 ahli daripada empat cawangan UMNO masuk Pas. Sedangkan, itu hanyalah gimik Pas yang mana kumpulan itu diketuai oleh seorang individu dikenali 'Shauki'. Berdasarkan semakan akhbar ini, 'Shauki' ialah ahli dan pengikut tegar Pas. Maknanya, kalau nak diperbetulkan majlis masuk Pas itu adalah 'ahli Pas sendiri masuk Pas'.

Di Salor sekarang, Husam menguar-uarkan lagi bahawa dia sudah 'hijaukan' Putrajaya. Gimik Husam mendorong seorang bapa di Kota Bharu menghubungi anaknya, seorang penguat kuasa di ibu pejabat Imigresen untuk mendapat jawapan. Lalu dijawab si anak:

"Adalah bendera dan poster Pas... tapi tidak seperti mana digambarkan Husam. Itu bohong Husam ja."

Malah, Husam dalam ceramah di sekitar Putrajaya begitu beria-ria mahu menjadikan pusat pentadbiran itu kota Islam. Sedangkan BN sudah buat pun perkara ini. Setakat hari ini sudah 49 surau beroperasi di seluruh Putrajaya termasuk tujuh dinaik taraf surau Jumaat. Masjid pula ada dua buah. Sekolah rendah agama sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu. Pada Mac lepas ini pun, Tengku Adnan berjaya mendapatkan peruntukan khusus untuk mendirikan sekolah menengah agama berasrama penuh. Tidak cukup Islamkah? Tengku Adnan berjaya menyelesaikan banyak perkara lain termasuklah pembesaran surau. Surau di Presint 14 pun akan beroperasi tidak lama lagi.

Dari segi pengangkutan awam pula, Husam dipercayai tidak boleh terkata apa dah. Penjadualan semula Nadi Putra dan pengangkutan lain sedang dirangka oleh Perbadanan Putrajaya untuk keselesaan penghuni Putrajaya. Malah, Tengku Adnan telah meminta kerajaan menyelesaikan isu 'allignment' monorel yang tersedia ada. Cuma sekarang, kos meletakkan rel, gerabak dan sistem elektroniknya meningkat tinggi.

Setakat ini lebih RM8 bilion dibelanjakan untuk pembangunan Putrajaya. BN suatu ketika cukup menyedari Kuala Lumpur menjadi sub pembangunan dan kuarters untuk penjawat awam. Justeru, kekangan itu dikurangkan dengan beralih ke Putrajaya.

Sabtu lepas, deretan kenderaan begitu panjang boleh dilihat dari lampu isyarat Presint 9 sehingga ke terowong Presint 11. Rupa-rupanya orang ramai memenuhi sesi ceramah Tun Dr. Mahathir. Dikatakan kira-kira 80 peratus khalayak yang hadir merupakan penduduk atau pengundi berdaftar Putrajaya. Dan ia tidak seperti mana program ceramah pakatan pembangkang malam Jumaat lalu yang rata-rata dikenal pasti audiensnya orang luar.

Kalau Husam pun sanggup berbohong kononnya BN bertindak memecat ahli jawatankuasa Surau Presint 11, justeru apa relevannya seseorang dari Pas patut mengatakan dia harus dipilih oleh kira-kira 15,000 pengundi berdaftar Putrajaya.

Menemui Tengku Adnan daripada program bertemu rakyat disertai Dr. Mahathir kelmarin, beliau kelihatan penat tetapi ceria.

"Harap warga Putrajaya termasuk staf-staf sokongan di sini memberi sokongan kepada BN 5 Mei nanti. Dulu Pas nak lelong Putrajaya dan sekarang masih sebut sebut perkara yang sama," katanya kepada kami kira-kira pukul 12.30 tengan malam.

Putrajaya tidak mahu wakil rakyat seperti Husam - yang difahamkan orang Salor pun menolaknya. Putrajaya menolak manusia yang 'berlakon' dalam masjid.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130429/re_06/Melihat-gelagat-temberang-Husam-di-Putrajaya#ixzz2RoMO10Yz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Thursday 25 April 2013

Peperangan Media Baru di Putrajaya


Husam Musa yang bertanding dua kerusi iaitu Parlimen Putrajaya dan DUN Salor mengakui tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk berkempen kepada kedua-dua rakyat di kawasan berkenaan.  Dalam usaha untuk menawan Putrajaya, pada 16 April di ‘foodcourt Presint 8 iaitu empat hari sebelum penamaan calon, Husam telah menggerakkan seluruh jentera dan pengamal media baru PR seperti facebooker, blogger, twitter. Kempen juga dibuat melalui medium 'WhatsApp',  sms blast kepada ‘handphone’ pengundi berdaftar dan petikan video yang diupload melalui youtube.  Sidang video “online” juga dibuat melalui saluran media  “ustream”. 
  
Husam menyedari bahawa kempen dalam usaha meraih undi di Putrajaya memerlukan kempen secara agresif dibuat melalui media baru kerana lebih 80% kediaman di Putrajaya melanggan kemudahan internet. Husam juga maklum, berdasarkan statistik  60% atau 9,400 pengundi adalah golongan muda di bawah umur 40 tahun yang tegar melayari internet dan media baru.  Golongan ini juga adalah pengguna tegar telefon pintar “smartphone” seperti iPhone, Samsung Note II,  Tablet PC yang boleh mengakses maklumat di mana jua.  Teknik pengunaan media baru dalam berkempen dimulakan dengan berkesan oleh Barrack Obama semasa berkempen untuk menjadi Presiden Amerika.


Kempen secara konvensional iaitu pendekatan ceramah kelompok kurang berkesan di Putrajaya, kerana majoriti penghuni kuaters tidak suka diganggu “privicy” mereka setelah balik bertugas dari pejabat.  Ceramah kelompok lebih sesuai untuk kaum ibu di kampong-kampong tradisional dan luar bandar.  Ceramah besar pula seperti yang berlangsung beberapa hari lepas, kelihatan berjaya dengan mengundang Mat Taib sebagai penceramah jemputan. Dari segi angka pengunjung mungkin baik tetapi hanya 2-5% sahaja yang hadir adalah pengundi Putrajaya.   Undian di atas talian atau “online pool” juga tidak menggambarkan kedudukan sebenar di lapanagan kerana pengundian yang dibuat tidak kredibel dan akademik. Status pengundi tidak dapat dipastikan siapa mereka dan pengunjung sesebuah portal, web atau facebook itu penyokong mereka, sudah pasti pool itu condong kepada puak mereka. Justeru itu, penulis tidak percaya langsung dengan “online pool” yang tidak akademik!

Sekiranya Husam menyangkakan boleh memenangi kempen menggunakan media baru di Putrajaya, sebenarnya beliau silap. Beliau hanya menggerakkan jentera media baru di Putrajaya mulai 16 April yang lepas dan sebelum itu yang wujud hanya blog PAS Kawasan dan Dewan Pemuda PAS Putrajaya sahaja. Blog Cabang PKR Putrajaya pula sudah lama tidak aktif.  Berbanding dengan BN, sebenarnya Putrajaya merupakan kubu kuat media baru UMNO sejak lama sebelum itu.  UMNO Bahagian mempunyai portal yang interaktif dibantu dengan jentera media baru Pemuda UMNO Bahagian, Unit Media Baru (UMB) Pemuda UMNO Malaysia yang sememangnya berkubu di Putrajaya. Ramai blogers, facebookers, twitter, sms blast dan lain-lain jentera BN/UMNO sedang berlegar dan berperang hebat dan berkubu di Putrajaya.  

Dilengkapi kemudahan kemudahan perkakasan ICT yang moden dan canggih serta semangat juang pemain media baru jentera UMNO Putrajaya, sebenarnya tidak mudah Husam dan jenteranya hendak memperlekehkan dan menumbangkan Ku Nan.  Serangan siber Husam tidak mampu menggoncang kredibiliti Ku Nan kerana mampu ditangkis dengan mudah oleh jentera siber UMNO Putrajaya.  Ku Nan juga mampu menggerakkan jentera UMNO secara  konvensional dengan lebih berkesan seperti pemasangan bendera, poster, pengedaran risalah dan bahan kempen kerana mempunyai jentera yang mencukupi dan terlatih sejak UMNO ditubuhkan 2004. 


Husam 'berpeluh' di Putrajaya



Di atas kertas kini terdapat 15,798 pengundi berdaftar di Putrajaya.Ini satu peningkatan lebih 100 peratus sejak pilihanraya umum 2008, di mana jumlah rasminya hanyalah 6,608 orang sahaja. Pada PRU12, penyandang kerusi parlimen P125 Putrajaya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menang di situ dengan kelebihan 75 peratus undi. Calon PAS hanya memperolehi 25 peratus undi, menjadikan Putrajaya antara kawasan Parlimen paling selamat dari tsunami ketika itu.

Itu cerita dulu, kini situasi boleh berubah, apatah lagi selepas PAS menamakan Naib Presiden Parti Datuk Husam Musa sebagai 'ayam sabung' mereka untuk merampas kerusi di pusat pentadbiran Malaysia itu. Kalau tengok secara kasar, memanglah nampak gah cabaran Husam terhadap Tengku Adnan itu. Tapi jika kita lihat semua data dan fakta atas meja secara detail, kita tahu cabaran Husam itu hanya 'gempak lebih' saja. Ia bukan cabaran 'do or die' sebab Husam sendiri bertanding dua kerusi, selain Putrajaya, beliau kekal di DUN selamatnya di Salor Kelantan.

Sabtu  sebaik sahaja lepas penamaan calon, Husam bergegas balik ke Kelantan dan hanya akan berkempen di Putarajaya pada Selasa dan Rabu depan, dan pulang semula ke Salor selepas itu. Ketika ditemui Agendadaily di pusat penamaan calon Presint 9, kata Husam, bertanding dua kerusi bukan hal, sebab sekarang zaman online. Menurutnya, 89 peratus penduduk Putrajaya mempunyai akses pada internet, jadi beliau akan berkempen secara online.

"Sekarang banyak kemudahan, saya boleh ulang alik, ada MAS, Air Asia, Firefly, tak ada masalah,"kata Husam jawab mengenai jauhnya Salor dan Putrajaya, dua kawasan yang  ditandinginya dalam PRU13 ini. Untuk perbandingan, beberapa pemimpin pembangkang lain bertanding dua kerusi biasanya di dalam negeri yang sama atau berdekatan. Antaranya, Azmin Ali di DUN Bukit  Antarabangsa dan Parlimen Gombak, Khalid Ibrahim di Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak. Lim Guan Eng Parlimen Bagan dan DUN Air Putih. Begitu juga dengan bos DAP Perak Ngeh bersaudara yang bertanding dua kerusi.



Hanya Husam yang buat lain macam bertanding DUN di Kelantan dan Parlimen di Putrajaya yang mana yang jaraknya 480 kilometer antara satu sama lain. Husam sendiri tidak bertanding di peringkat nasional sejak 2004, sedangkan kedudukan sebagai antara orang nombor tiga dalam parti menuntut beliau melakukan sesuatu di peringkat nasional. Tapi masalah dengan Husam adalah beliau bukan tidak mempunyai kerusi parlimen di Kelantan. Beliau boleh memilih untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi selamat, tetapi terpaksa lepaskan kerusi DUN. Ia satu percaturan yang 'payah kira' untuk Husam, yang kononnya disebut-sebut antara calon MB Kelantan penganti Nik Aziz.

PRU13 adalah PRU adalah penting, untuk Husam, jika beliau hanya bertanding DUN, publisitinya tidak meluas, tak glamour. Jadi bertanding di Putrajaya, mencabar penyandang kerusi yang berstatus seperti Tengku Adnan  adalah langkah politik untuk kekal relevan di peringkat nasional sekaligus dapat publisiti percuma. Husam sendiri tahu, nasibnya di Putrajaya amat samar, sebab itu beliau lebih senang kata hanya 'mencuba nasib'. Dalam sidang media pertamanya diumumkan sebagai calon PAS Putrajaya, kata Husam,  beliau belum ada keyakinan lagi untuk menang di Putrajaya kerana BN ada tokoh hebat yang kuat.

“PRU 2008 PAS hanya dapat undi sebanyak 25 peratus, salah satu kawasan yang paling rendah jumlah sokongan. “Kalau naik lima peratus pun tak boleh menang juga tapi tak mengapa kita boleh cuba kerana saya datang sini dengan harapan untuk menang,"ujarnya.

Husam mungkin mengharapkan sentimen pengundi luar terutamanya dari Kelantan untuk mengundi beliau di Putrajaya. Tetapi, berdasarkan data, kebanyakkan pekerja berasal dari negeri Kelantan yang tinggal di Putrajaya mengundi di Kelantan. Bagi rata-rata orang Kelantan, pilihanraya ini macam hari raya, jadi tiap kali PRU mereka berdoyan-doyan pulang ke negeri itu. Sebab itu UMNO atau PAS selalu buat Majlis di Kelantan rai 'pengundi luar' dan biasanya melimpah dengan orang Kelantan yang tinggal di KL tapi mengundi di sana. Maknanya di atas kertas, percaturan Husam jika mengharapkan undi negeri salah. Tengku Adnan  sendiri yakin penuh,  sentimen negeri tidak akan berjaya dalam  meraih sokongan pengundi di Putrajaya.

"Saya berpandangan walaupun calon orang mana sekalipun, rakyat  mempunyai minda terbuka dan mereka akan memilih orang yang mereka kenal, orang yang memahami keperluan mereka dalam kawasan itu. "Saya berkeyakinan bahawa Husam akan ditolak, 'total rejection' sebab beliau datang dari luar Putrajaya." katanya.

Untuk rekod, pada PRU12, dari 5,416 kertas undi yang dikeluarkan, Ku nan memperolehi 4,038 undi manakala lawannya dari PAS hanya 1,304 dan majoriti 2,734. Dalam kata lain, satu kemenangan dua pertiga. Sementara itu, walaupun Husam cuba 'disolekkan' sebagai pemimpin hebat dari Kelantan, cerita sebenarnya akan terlondeh satu persatu di Putrajaya tidak lama lagi. Agendadaily difahamkan beberapa rakan baik Husam akan mendedahkan siapa dirinya yang sebenar di atas pentas BN tidak lama lagi. Antara rakan karibnya itu merupakan penulis blog terkenal yang mana salah seorang daripadanya pernah menjadi 'orang kuat' Husam. Katanya, seorang lagi penulis blog terkenal propembangkang yang kerap menulis cerita politik di peringkat Kelantan dan nasional juga akan berkempen menentang Husam.

"Salah seorang blogger terbabit ialah Syed Azidi Syed Abdul Aziz  atau Kickdefella yang menghubungi saya sendiri dan menyatakan kesediaan mendedahkan siapa Husam di atas pentas ceramah BN. "Seorang lagi ialah blogger yang hardcore dengan beliau. Dia datang berjumpa sendiri dengan saya kelmarin. Blogger ini bersembang sehingga pukul 2 pagi dan berjanji membantu  mendedahkan siapa Husam sebenarnya," Kata Ku Nan selepas Majlis Doa Selamat dan Solat Hajat di rumahnya semalam. Menurut Ku Nan, semua rakan baik pemimpin kanan PAS itu bersetuju bertindak demikian kerana sayangkan negara.

Selain itu, seorang  usahawan yang pernah terlibat dalam kontroversi projek penternakan kambing bersama Husam beberapa tahun lalu. "Kita sudah jumpa Datuk Amin yang pernah berurus niaga kambing  yang pernah diuar-uarkan oleh Husam satu waktu dulu dengan turut membawa bersama pegawai kewangannya, Fauzi Daud untuk mendedahkan transaksi tersebut," katanya. Husam memang diketahui mempunyai beberapa kontrolversi dalam urusan seharian beliau sebagai exco kerajaan negeri Kelantan. Beberapa 'deal' yang kemudiannya tidak jadi dan menimbulkan keraguan banyak pihak. Selama ini cerita-cerita tersebut hanya berkisah di Kelantan sahaja atau dalam blog-blog politik.

Kini dengan kesempatan PRU13 dan Husam jadi 'ayam tambatan' PAS di Putrajaya, pekung ini sedikit sebanyak akan 'terlondeh'. Macam kisah selebriti, ada harga yang perlu dibayar pada setiap publisiti, mungkin PRU13 menjadi pentas terbaik untuk penduduk Putarajaya khususnya dan rakyat Malaysia seluruhnya menilai Husam Musa. Tunggu... ini baru hari pertama. Ada 14 hari lagi untuk berkempen, pertarungan di Putrajaya ini pasti tambah menarik setiap hari...-21/4/2013- OLEH HELME HANAFI , AGENDADAILY

Husam Tawar Rumah Kepada Penjawat Awam Putrajaya

Husam Musa dalam siri kempennya menawarkan kuaters kerajaan ditukarkan kepada sewa beli.  Hanya yang berfikiran singkat sahaja percaya kepada janji tersebut.  Kenapa kuaters? Sebab ia kemudahan perumahan Penjawat Awam yang akan silih berganti didiami oleh Penjawat Awam yang lain atas pelbagai sebab. Antaranya ialah Penjawat Awam itu berhenti, bertukar dan juga bersara wajib. Pembangunan Putrajaya mengikut pelan induk (masterplan) akan mewujudkan 300,000 kediaman pelbagai jenis di mana 40% adalah dibina bagi tujuan kuaters kerajaan dan 60% lagi dijual kepada awam.


Kuaters kerajaan dibina di atas tanah yang diberilimilik di atas nama Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP-KPTG) dan tidak boleh dijual beli sementara Putrajaya Holdings (PJH) adalah pemilik tanah yang akan dan telah dibangunkan kediaman yang akan dijual kepada awam. Kuaters kerajaan dibina mengikut kelas dan kelayakan Penjawat Awam yang telah ditetapkan di dalam bab E Perintah Am.  Pangsapuri berkeluasan antara 850kp.-1,000k.p. adalah diperuntukkan kepada Penjawat Awam dari gred 1-17.  Pangsapuri berkeluasan 1,200k.p bagi gred 22-26 atau sesiapa yang bersetuju untuk "down gred". Sementara rumah teres diperuntukkan kepada Penjawat Awam Gred 27-44 mengikut kelas masing-masing dan rumah teres berkembar bagi gred 48-54.   

Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam perancangan pembangunan Bandar raya Putrajaya, telah mengkhususkan 10,000 buah rumah mampu milik dibangunkan dibeberapa kawasan. Antara PRMM yang telah dibangunkan ialah Pangsapuri Putra Harmoni (rumah hijau) di Presint 9, Pangsapuri Putra damai di Presint 11 dengan kedua-dua pengsapuri berkenaan berkeluasan 700kp dan dijual dengan harga RM45,000.00.  Memandangkan desakan penduduk Putrajaya supaya dibina rumah mampu milik yang lebih besar, UMNO Bahagian Putrajaya telah membawa permohonan ini kepada  PPj dan Perdana Menteri.  Melalui perbincangan dan kajian mendalam oleh PPj, PJH dan Jabatan Perdana Menteri, Kerajaan bersetuju membina rumah mampu milik yang lebih besar di Putrajaya melalui projek PR1MA yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri dan dijual di Presint 11 dengan harga antara RM120,000 (815k.p.) - RM150,000 (1,006k.p.) pada tahun lepas.

Seterusnya, pada 18 April yang lepas Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk Penjawat Awam yang menetap di kawasan bandar. Projek pertama dibangunkan khusus untuk Penjawat Awam di Putrajaya. PPA1M berkeluasan 1,000k.p., 1,200k.p dan 1,500k.p. akan dijual dengan harga antara RM150,000.00 hingga RM300,000.00 adalah jauh lebih rendah dari harga pasaran.  Sebagai perbandingan  Apartment Dwi Putra yang dibangunkan oleh SP Setia di Presint 15 mula dijual dengan harga antara RM389,500.00 - RM694,200.00 dengan berkeluasan 900k.p. hingga 1,200k.p. 


Kemudahan perumahan untuk Penjawat Awam ini diperjuangkan oleh UMNO yang menjadi tunjang BN di Putrajaya dan ia sudah pasti tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak khususnya oleh Penjawat Awam itu sendiri. Dari estet getah dan sawit Ladang Prang Besar, Sidgelley, Madingley dan Galloway akhirnya menjadi sebuah Bandar Raya Dalam Taman yang indah adalah ilham dan iltizam kerajaan Barisan Nasional.

Kuaters adalah kemudahan dan bukannya hak! Soal kekurangan dan tempoh senarai menunggu kuaters akan ditangani oleh Bahagian Pengurusan Hartanah, JPM dengan sebaik-baiknya.  Masih banyak lagi kuaters yang akan dibangunkan secara berperingkat-peringkat di Presint 5, 6, 8, 11, 12, 15, 16, 17 dan 19. Sekiranya semua kuaters ini dijual seperti janji Husam Musa, maka apakah lagi yang tinggal untuk generasi Penjawat Awam akan datang? Inilah contoh pemikiran dangkat pemimpin PAS yang terkenal dengan  slogan dan perasmian batu asas...